Tukang masak dituduh membunuh

Tertuduh Harjit Singh Terlok Singh, 25, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, Mei lalu.
Tertuduh Harjit Singh Terlok Singh, 25, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, Mei lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang tukang masak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui terapung di Sungai Kinta, Mei lalu.

Tertuduh, Harjit Singh Terlok Singh, 25, didakwa membunuh A Preshna, 40, di Jalan Che Puteh, Ipoh dalam daerah Kinta antara jam lebih kurang 7.30 pagi hingga 5.30 petang pada 23 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liyana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan, Harjit Singh bersama Basharuddin Hammersla, 26; S Jeyenthiran, 34; S Simeon, 31; T Selvamani, 40, dan V Thiruganesh, 36, dan seorang yang masih bebas telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi manakala tertuduh diwakili Peguam Shabnam Haseena Mohamad Hanif.

Semasa prosiding kes, Mohammad Haiqal memohon kepada mahkamah supaya menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan kesemua tertuduh itu dibicarakan secara bersama.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan Khamis ini (esok) untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Lima individu iaitu Basharuddin; Jeyenthiran; Simeon; Selvamani dan Thiruganesh telah didakwa atas pertuduhan menculik dan membunuh mangsa pada 11 Jun lalu.

Pada 27 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan mayat seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun ditemui terapung di Sungai Kinta di sini dipercayai dibunuh.

Dalam kejadian sekitar jam 6 petang itu, mayat mangsa ditemui orang awam dengan hanya memakai seluar selain keadaan muka dan bahu hingga lengan tangan kiri hancur.

Polis mengesahkan terdapat luka lebam akibat pergelutan atau luka mempertahankan diri pada tangan kanan.

Selain itu banyak luka dan lebam di keseluruhan badan mangsa disyaki dipukul menggunakan objek tumpul seperti penumbuk, kayu atau rotan.