Cagamas muktamadkan harga Kertas Komersial Islam RM300 juta

No Image Caption
A
A
A

CAGAMAS Bhd memuktamadkan harga bagi Kertas Komersial Islam (ICP) RM300 juta berjangka tiga bulan untuk suku keempat 2021.

Perbadanan gadai janji negara itu menjelaskan ICP tersebut ditetapkan harga pada Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) tiga bulan yang sama ditambah dengan lima mata asas (bps) atau bersamaan dengan 1.99 peratus berasaskan penetapan KLIBOR pada tarikh penetapan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Chung Chee Leong berkata, tebarannya adalah 23 bps melebihi Bil-bil Perbendaharaan Islam Malaysia yang sama.

“Kami gembira dengan pemuktamadan terbitan terkini Cagamas ini yang menyaksikan minat belian berterusan terhadap kertas jangka pendek kami.

“Ini dicatatkan meskipun pasaran pendapatan tetap global dan tempatan menghadapi tekanan susulan banyak pihak menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengumumkan langkah pengurangan pembelian aset berskala besar semasa mesyuaratnya pada November ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Cagamas, terbitan itu menjadikan terbitan agregat perbadanan itu bagi tahun ini berjumlah RM12.25 bilion.

Hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk membeli pembiayaan kediaman Islam daripada sistem kewangan.

Kertas tersebut, yang akan ditebus pada nilai nominal penuh masing-masing sebaik sahaja mencapai tempoh matang, adalah obligasi tidak bercagar perbadanan itu, pada kedudukan sama rata dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada lain di bawah Cagamas.

Artikel Berkaitan:

Ia akan disenaraikan dan boleh dagang menerusi Sistem Dagangan Sekuriti Tanpa Skrip. - Bernama