X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Suami kedekut punca ramai wanita murung

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KUALA TERENGGANU - Kegagalan suami memberi nafkah belanja harian kepada isteri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi punca utama ramai dalam kalangan wanita menghidap kemurungan yang melampau sehingga mengambil keputusan mengorbankan rumah tangga yang dibina.

Perkara tersebut didedahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Terengganu (PPST) selepas meneliti punca permohonan perceraian fasakh yang dikendalikan persatuan sepanjang tempoh berkenaan iaitu sejumlah 71.4 peratus diikuti permohonan cerai ta'liq (21.4 peratus) dan nafkah anak (7.2 peratus).

Presiden PPST, Fazrul Anuar Yusof berkata, setiap kali individu datang meminta rujukan dan bantuan daripada pihaknya, alasan diberikan adalah sama, tidak sanggup meneruskan kehidupan dengan suami kedekut.

"Mereka memaklumkan suami sangat berkira untuk menghulurkan wang belanja harian sekali gus keadaan ini menyebabkan mereka tertekan.

"Mereka mendakwa jika tidak dikawal boleh jadi 'gila' disebabkan kemurungan melampau kerana isu kewangan, jadi untuk mengatasi masalah ini, mereka mengambil keputusan memohon perceraian kerana tidak dapat teruskan hidup bersama pasangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Fazrul, selepas menerima aduan dan permohonan perceraian individu berkenaan, pihaknya akan memanggil pasangan masing-masing untuk mendengar alasan bagi membantu 'menyelamatkan' rumah tangga mereka tetapi majoriti yang datang memang sudah nekad untuk berpisah.

Fazrul Anuar
Fazrul Anuar

"Kebanyakan lelaki memberi alasan kenapa terpaksa bersikap 'kedekut' dengan pasangan masing-masing adalah disebabkan tak ada wang kerana tidak boleh bekerja sepanjang tempoh tersebut.

"Namun masalah sedemikian tidak boleh dijadikan alasan sepenuhnya. Mereka perlu berusaha mencari sumber kewangan walau dalam apa jua keadaan, kerana tanggungjawab memberi nafkah adalah wajib bagi setiap suami," jelasnya.

PPST ditubuhkan bagi memberi khidmat guaman secara percuma kepada wanita asnaf sejak 2018.

Bantuan disediakan membabitkan empat jenis kes iaitu nafkah isteri, nafkah anak, perceraian secara ta'liq dan perceraian secara fasakh.

Pemohon perlu berpendapatan RM1,000 ke bawah, kes yang belum difailkan di mahkamah syariah dan syarat-syarat lain ditetapkan PPST secara percuma.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!