X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Tunai zakat bukan untuk tambah rezeki

Menerusi portal zakatpenang2u.com orang ramai boleh membayar zakat dan mendapatkan pelbagai maklumat yang bermanfaat mengenai zakat.
A
A
PADA zaman serba canggih dan dipenui kemudahan teknologi terkini, pelbagai kebaikan yang dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat di negara Malaysia yang tercinta ini.

Salah satu kebaikan yang dapat dinikmati adalah kemudahan untuk mengetahui secara pantas berkaitan maklumat terkini, berita terbaru, isu-isu semasa dan pelbagai lagi melalui aplikasi internet seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter, TikTok, Google, YouTube dan sebagainya.

Melalui kemudahan teknologi internet ini, masyarakat juga didedahkan dengan maklumat yang berbentuk ilmu termasuk berkaitan zakat yang menjadi salah satu daripada paksi di dalam Rukun Islam.

Dalam hadis daripada Abu Abdurrahman Abdullah bin Umar bin Khaththab RA berkata, aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Islam dibangunkan atas lima pekara. (1) Persaksian bahawa tiada Tuhan selain ALLAH, dan Muhammad Rasul ALLAH, (2) mendirikan solat, (3) mengeluarkan zakat, (4) melaksanakan ibadah haji, dan (5) berpuasa Ramadan.” - (HR Bukhari dan Muslim)

Timbul persoalan, apa sebenarnya yang perlu kita tahu mengenai zakat? Menurut Prof Dr Mustafa al-Bugha di dalam kitab karangan agungnya iaitu Fiqh Manhaji, beliau mendefinisikan zakat itu adalah kadar daripada beberapa jenis harta yang wajib dikeluarkan kepada golongan manusia tertentu apabila cukup syarat tertentu.

Seperti yang kita semua tahu, zakat yang telah diperintahkan oleh ALLAH SWT di dalam al-Quran tidak hanya tertumpu kepada zakat fitrah semata-mata untuk dilaksanakan.

Ia merangkumi zakat harta yang mempunyai pelbagai jenis pembahagian, antaranya zakat emas, zakat perak, zakat wang simpanan, zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat tanaman, zakat ternakan, zakat wang KWSP dan zakat saham.

Sembilan pembahagian zakat harta ini bukanlah diwajibkan secara mutlak kepada semua umat Islam untuk dilaksanakannya, namun jika seseorang telah memenuhi rukun-rukun zakat maka zakat harta diwajibkan ke atas dirinya.

Bagaimanapun, jumlah yang perlu dizakatkan tidaklah begitu banyak, hanya 2.5 peratus daripada keseluruhan harta mereka.

Pada tahun ini, ramai dalam kalangan masyarakat mulai sedar tentang pentingnya kewajipan berzakat.

Perkara ini terbukti kerana hampir semua institusi zakat negeri di Malaysia saban tahun menunjukkan trend prestasi kutipan zakat yang sentiasa meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Trend peningkatan kutipan zakat ini akan dapat membantu lebih ramai golongan asnaf yang memerlukan.

Tujuan zakat

Ramai pembayar zakat beranggapan bahawa dengan mereka menunaikan zakat ke atas harta mereka, ALLAH SWT akan memudahkan serta mengembangkan rezeki kepada mereka.

Namun sejauh manakah kebenaran kenyataan ini? Adakah dengan seseorang itu mengeluarkan zakat maka ALLAH SWT akan sentiasa mencurahkan rezeki kepadanya? Adakah itu tujuan utamanya?

Persoalan ini telah pun dijawab oleh ALLAH SWT sekian lama di dalam al-Quran iaitu seseorang Muslim itu dituntut melaksanakan ibadah zakat bukanlah untuk dimurahkan rezeki, maju dalam perniagaan, menjadi kaya atau sebagainya.

Sebaliknya, tujuan pelaksanaan ibadah zakat adalah berkait dengan membersihkan harta dan menyucikan jiwa. ALLAH SWT berfirman di dalam surah at-Taubah ayat ke 103:

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) ALLAH Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.”

Daripada ayat al-Quran ini secara jelas ALLAH SWT memberi gambaran bahawa setiap Muslim yang tidak melaksanakan ibadah zakat setelah memenuhi semua rukun zakat akan lahirnya sifat bakhil di dalam diri dan kehidupannya akan jauh daripada nilai agama kerana dalam hatinya mula timbul sifat cintakan dunia.

Pada zaman yang penuh mehnah dan tribulasi kini, kita mungkin terlibat dengan harta yang mungkin kita sendiri tidak pasti sumbernya. Oleh yang demikian, berzakat adalah ibadah yang tepat bagi membersihkan harta.

Harta yang tidak dikeluarkan zakat diibaratkan seperti pakaian yang tidak pernah dibersihkan serta dicuci. Apabila pakaian tidak dicuci dan dibersihkan dengan betul tentunya terlalu banyak debu, kotoran, bau dan juga pelbagai kuman yang akhirnya akan membawa virus dan penyakit bahaya kepada pemakainya.

Lantaran itu, dapat kita fahami bahawa tujuan utama berzakat bukanlah untuk mendapatkan kemurahan rezeki. Akan tetapi apabila seseorang itu berzakat maka pasti hartanya akan selalu dilimpahkan keberkatan oleh-Nya yang akan memberi kesan positif kepada seseorang sehingga memperolehi keberkatan dalam kehidupan sehariannya.

Cara berzakat

Bagaimana pula jika ingin melaksanakan ibadah zakat? Setiap negeri di Malaysia mempunyai institusi zakat yang rasmi di bawah Majlis Agama Islam Negeri. Oleh itu, umat Islam di setiap negeri harus melaksanakan ibadah zakat melalui institusi zakat negerinya masing-masing.

Bagi umat Islam di negeri Pulau Pinang khususnya, perlulah melaksanakan ibadah zakat melalui Zakat Pulau Pinang yang merupakan institusi zakat rasmi dan berautoriti di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Zakat Pulau Pinang telah menyediakan lapan buah kaunter zakat di seluruh negeri Pulau Pinang iaitu di Bukit Mertajam (ibu pejabat), Bayan Baru, Georgetown, Balik Pulau, Nibong Tebal, Kepala Batas, Butterworth dan Ayer Itam.

Perkhidmatan ini melibatkan kaunter kiraan atau taksiran zakat, kaunter bayaran zakat dan kaunter permohonan zakat.

Kepada mereka yang ingin terus kekal berada di rumah disebabkan pandemik Covid-19, anda boleh menunaikan ibadah zakat dengan lebih mudah, cepat dan selamat melalui dalam talian di zakatpenang2u.

Sekiranya kita tidak mahu harta kita menyimpan 'kotoran', keluarkanlah zakat. Marilah kita sama-sama memastikan hak asnaf terus dibela.

* Muhammad Nazreen Adnan, Bahagian Dakwah Am, Zakat Pulau Pinang (MAINPP)


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!