Jangan acah, provokasi haiwan liar

Roseminah (dua,kiri, depan) dikunjungi saudara mara selepas dibenarkan keluar dari hospital petang semalam.
Roseminah (dua,kiri, depan) dikunjungi saudara mara selepas dibenarkan keluar dari hospital petang semalam.
A
A
A

JENGKA - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang meminta orang ramai tidak mengacah atau membuat provokasi terhadap haiwan liar bagi mengelakkan serangan balas di luar jangkaan.

Pengarahnya, Ahmad Azhar Mohamed berkata, tindakan seperti menghalau dengan suara nyaring boleh mengejutkan haiwan liar seperti babi hutan menyerang dan boleh mencederakan mangsa.

Menurutnya, kejadian yang menimpa warga emas Roseminah Safar, 70, dari Felda Jengka 1 pada Sabtu lalu yang cedera parah disondol babi hutan boleh dijadikan teladan kepada masyarakat.

"Dalam kejadian 6.30 petang itu, pembuluh darah lengan kanan tangan dan kedua-dua kaki mangsa telah diserang babi hutan jantan sebesar anak lembu di belakang rumahnya di Felda Jengka 1.

"Doktor di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Unit Orthopedik melakukan pembedahan segera masa kira-kira 7 jam bagi menyambung urat lengan yang terputus akibat tusukan taring babi hutan dan 30 jahitan di tangan dan kaki," katanya.

Tambahnya, hasil perbincangan dengan Ketua Kampung Felda Jengka 1, Mohd Akhir Awang, pihaknya telah mengadakan operasi selama tiga hari yang diketuai Ketua Perhilitan Daerah Maran, Anuar Ismail untuk menangkap atau menghapuskan spesies terbabit tetapi setakat ini belum berjaya.

Katanya, beberapa langkah keselamatan mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) antaranya arah tembakan, orang awam, rumah dan kenderaan menjadi penekanan dalam operasi tersebut.

"Dalam operasi ini, kaedah relevan menggunakan umpan jerat kerana lokasi kejadian berada di kawasan perumahan peneroka yang tinggal berdekatan yang menyukarkan operasi pemburuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, babi hutan merupakan spesies hidupan liar yang disenaraikan di bawah jadual 1 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 ( Akta 716 ) yang merupakan hidupan liar yang dilindungi.

"Mangsa boleh memohon tuntutan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Serangan Binatang Buas dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan membuat laporan polis serta laporan perubatan daripada hospital," katanya mengesahkan kejadian terbabit dan akan dimajukan kepada pihak JKM.

Sementara itu, Roseminah dibenarkan keluar dari hospital petang semalam dan menghargai segala bantuan yang diberikan pelbagai pihaknya.

Mengakui trauma dengan insiden itu, warga emas tersebut menjadikan pengalaman yang berlaku terhadap dirinya sebagai pengajaran dan akan lebih berhati-hati selepas ini.