Selangor sasar pengangguran menurun bawah empat peratus

Mohd Khairuddin (kanan) membuat gimik pelancaran Jelajah Selangor Bekerja 2021 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, pada Selasa.
Mohd Khairuddin (kanan) membuat gimik pelancaran Jelajah Selangor Bekerja 2021 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menetapkan sasaran bagi menurunkan peratusan kadar pengangguran di bawah paras empat peratus pada tahun hadapan.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, statistik terkini menunjukkan kadar pengangguran di negeri ini adalah pada paras 4.4 peratus dan jumlah itu meningkat mendadak berbanding tahun 2019 yang merekodkan sekitar 2.9 peratus.

Menurut beliau, peningkatan yang direkodkan itu juga adalah susulan daripada pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) di negara ini.

"Antara industri yang terjejas termasuklah bidang teknologi maklumat, pembinaan, pekhidmatan, profesional, teknikal dan lain-lain lagi," katanya selepas Pelancaran Jelajah Selangor 2021 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, di sini, pada Selasa.

Mengulas mengenai pelancaran itu, Mohd Khairuddin berkata, sebanyak 25,000 peluang pekerjaan disediakan menerusi Jelajah Selangor Bekerja 2021 yang melibatkan penyertaan hampir 200 syarikat di negeri ini.

Menurut beliau, selain itu, pelaksanaan program berkenaan kali ini akan memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan dalam industri aeroangkasa dengan kerjasama daripada Invest Selangor Berhad.

"Terdapat juga pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor lain ditawarkan dalam inisiatif berkenaan melibatkan industri perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan dan pelbagai lagi.

"Kerajaan Selangor akan melaksanakan program ini ke seluruh negeri bermula dari 23 Oktober sehingga akhir Disember 2021," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, program itu juga akan diadakan secara hibrid dan fizikal di samping mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Siri jelajah pada kali ini akan diadakan di enam kawasan atau daerah yang telah dikenal pasti seperti Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Langat dan Petaling.

"Kerajaan negeri berharap agar rakyat Selangor khususnya golongan belia yang terjejas dapat mengambil peluang yang ditawarkan bagi mencari pekerjaan baharu," katanya.

Orang ramai yang ingin mencari peluang pekerjaan boleh membuat pendaftaran menerusi www.selangorbekerja.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.