Kerajaan digesa tubuh RCI siasat isu Pandora Papers

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh, adil dan bebas berhubung isu yang didedahkan Pandora Papers, Panama Papers dan Swiss Leaks.

Pengerusi Biro Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, pendedahan tersebut jelas menunjukkan bagaimana ahli politik dan orang kaya lari dari cukai, malah menyimpan kekayaan mereka dalam akaun-akaun tersembunyi di negara lain dengan kadar cukai yang rendah.

Kesan daripada tindakan itu, katanya, Malaysia kehilangan hasil cukai sehingga menyebabkan rakyat B40 terpaksa membayar cukai lebih tinggi termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Justeru, jangan biarkan rakyat marhaen yang tidak bersalah terus merana. Kekayaan negara harus dikongsi secara adil demi mencapai kemakmuran bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Faiz berkata, saban tahun Malaysia berada dalam kelompok lima negara teratas dalam isu aliran keluar wang haram berikutan kerajaan tidak pernah mewujudkan suruhanjaya khas yang bebas untuk menyiasat perkara tersebut.

Beliau mendakwa, kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu cuba memutarkan isu tersebut dengan mengatakan bahawa hanya syarikat-syarikat Malaysia serta syarikat multinasional (MNC) terlibat dalam penyelewengan perdagangan (trade misinvoicing).

Katanya, Global Financial Integrity secara jelas menyatakan bahawa 'trade misinvoicing' itu meliputi ahli politik, ahli kerajaan dan penjenayah yang menyeludup keluar wang secara haram.

“Global Financial Integrity juga pernah menyebut bahawa kegagalan kerajaan membendung rasuah boleh meningkatkan aliran keluar dana haram.

Artikel Berkaitan:

“Gesaan (Najib) bahawa cukai GST hanya satu-satunya kaedah untuk menyelesaikan masalah ini adalah tidak masuk akal. Jika benar GST boleh membendung aliran wang haram secara haram, negara-negara maju tidak akan terus terjejas dengan masalah ini sehingga sekarang,” katanya.

Sehubungan itu, Faiz berkata, rakyat perlu bersatu hati menolak amalan rasuah dan mengangkat agenda integriti dan tadbir urus baik.

“Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 menyebut mengenai perang menentang pelbagai kegiatan haram termasuk aliran dana haram. Untuk berjaya dalam perang ini, Malaysia perlu menambah baik sistem perundangan dan pemantauan pihak berkuasa,” ujar beliau.