Bantah murid kena tukar sekolah

Bantahan dilakukan kerana tidak bersetuju dengan arahan perpindahan murid SKBM ke SKSK.
Bantahan dilakukan kerana tidak bersetuju dengan arahan perpindahan murid SKBM ke SKSK.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kira-kira 100 individu membantah terhadap arahan perpindahan murid Sekolah Kebangsaan Bukit Meriam (SKBM) ke sebuah sekolah lain yang diputuskan Mei lalu.

Pengerusi Sekretariat Bantahan, Badron Hisham Bahari berkata, murid SKBM, Kota Kuala Muda diarahkan berpindah ke Sekolah Kebangsaan Seri Kuala (SKSK) sebaik sahaja sesi persekolahan dibuka kelak dengan alasan risiko keselamatan yang didakwa tidak berasas.

Menurutnya, arahan diberikan juga tidak jelas di mana keputusan perpindahan melalui notis pada 2 Mei lalu dibuat tanpa perbincangan rasmi bersama ibu bapa dan waris pelajar.

"Sebelum ini, saya difahamkan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memantau tahap keselamatan cerun di belakang sekolah berkenaan dan membuat keputusan agar 141 murid SKBM dipindahkan ke SKSK kerana dikatakan tidak lagi selamat," katanya ketika bantahan di hadapan SKBM pada Ahad.

Badron Hisham mendakwa, bahawa kajian yang dilakukan pihak berkenaan tidak menyeluruh dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepatutnya.

Cerun bukit yang terletak berdekatan dengan bangunan sekolah.
Cerun bukit yang terletak berdekatan dengan bangunan sekolah.

Bagaimanapun, beliau berpendapat SKBM masih selamat kerana telah wujud sejak hampir 100 tahun lalu selain tidak pernah berlaku sebarang runtuhan cerun atau kemalangan jiwa berbanding SKSK yang terletak di kawasan terjejas tsunami.

"Tiada kesan retakan pada dinding sekolah yang menyebabkan rasa tidak selamat sedangkan sekolah telah digunakan selama empat generasi tanpa ada kejadian buruk berlaku," dakwanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa, terdapat ibu bapa yang tidak berpuas hati memandangkan tiada perbincangan secara menyeluruh dilakukan sedangkan perpindahan membebankan golongan itu.

Dakwanya, jarak perjalanan SKSK agak jauh melebihi kira-kira lima kilometer berbanding SKMB dan memerlukan lebih masa untuk perjalanan pergi dan balik ke sekolah.

Menurutnya, murid SKBM yang diarahkan berpindah rata-ratanya tinggal di Kampung Bukit Meriam, Kampung Sintok Bugis, Kampung Matang Rengan, Kampung Bukit Berangan, Kampung Matang Tengah dan Kampung Sungai Meriam.

Papan tanda AWAS di pagar sekolah sebagai amaran agar tidak berada hampir dengan cerun bukit.
Papan tanda AWAS di pagar sekolah sebagai amaran agar tidak berada hampir dengan cerun bukit.

"Jadi kami minta pihak kerajaan kekalkan sesi pembelajaran di SKMB dengan membuat penambahbaikan infrastruktur dan pengukuhan bukit melalui pemotongan cerun sekiranya benar kawasan itu tidak selamat," jelasnya.

Beliau berkata, perpindahan juga dikatakan bersifat sementara mengikut tempoh tertentu kerana dimaklumkan murid akan ditempatkan di dalam kontena di SKSK bagi sesi pembelajaran yang dirasakan akan menimbulkan ketidakselesaan.

Sebelum ini, tinjauan Sinar Harian mendapati kedudukan bangunan sekolah berada berdekatan dengan cerun bukit dan telah dipasang papan tanda amaran agar tidak mendekati kawasan terbabit.