MAFI menerusi LKIM peruntuk RM6.43 juta baik pulih rumah nelayan

Ronald (tengah) menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada ahli nelayan PNK Beluran
Ronald (tengah) menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada ahli nelayan PNK Beluran
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah memperuntukkan sebanyak RM6.43 juta untuk baik pulih dan pembinaan rumah baharu kepada nelayan bagi seluruh negara di bawah peserta Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN).

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sebanyak RM3.45 juta pula telah diperuntukkan bagi negeri Sabah sahaja setakat ini untuk bantuan baik pulih rumah nelayan.

Tambahnya, projek PKPN yang dilaksanakan oleh LKIM bagi membantu nelayan yang berpendapatan rendah untuk membaik pulih rumah dan membina rumah baharu serta meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat nelayan.

“Secara keseluruhan, selain PKPN, MAFI melalui LKIM telah memperuntukkan lebih RM150 juta pada tahun ini bagi bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara

“Ia merangkumi Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 setiap bulan, subsidi diesel dan petrol, dana nelayan, tabung bencana dan kebajikan nelayan, projek tanaman kotan, bantuan Projek Ekonomi Kumpulan Nelayan dan Program Bakul Makanan Nelayan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada Ahad, Ronald hadir bagi menjayakan program 'walkabout' ke rumah peserta PKPN, lawatan tapak Kilang Ais Batu Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran di Kampung Keramat dan penyerahan Bakul Makanan Nelayan.

Turut hadir dalam program' walkabout' itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd, Ketua Pengarah LKIM, Yusoff Othman, Pengarah LKIM Sabah, N Sundralingam dan Pengerusi PNK Beluran, Uting Rahmat.

Dalam pada itu, LKIM juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk pembelian bangunan pejabat PNK Beluran dan RM300,000 untuk pembinaan kilang ais batu di Kampung Keramat, Beluran.

Artikel Berkaitan:

Pembinaan kilang ais itu bagi tujuan penyimpanan hasil tangkapan perikanan dan pemasaran ikan yang akan memberi manfaat kepada 2,783 nelayan di kawasan tersebut.

“PNK Beluran turut menerima peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah Dana Khas Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang merupakan antara inisiatif dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi menjalankan perniagaan jualan ais batu.

“Seramai 50 orang peserta nelayan di kawasan Beluran pula telah mendapat bantuan dan insentif secara ‘one-off’ di bawah Projek Tanaman Kontan dengan peruntukan berjumlah RM100,000.

“LKIM melaksanakan Program Pembangunan Pelan Peningkatan Pendapatan Golongan B40 Nelayan melalui Projek Tanaman Kontan bertujuan untuk memberi pendapatan sampingan kepada golongan nelayan melalui bantuan input pertanian yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta dengan sasaran peserta sejumlah 3,006 nelayan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ronald turut menyerahkan sumbangan bakul makanan (Food Basket) kepada 100 ahli nelayan PNK Beluran.

“Ia sebagai sebahagian sumbangan MAFI Prihatin menerusi LKIM bersama-sama PNK bagi mengurangkan beban para nelayan yang terkesan dengan wabak Covid-19.

“LKIM akan terus memainkan peranan sebagai agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang masa termasuk dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.