ABIM pandang serius isu kesihatan mental

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius isu permasalahan kesihatan mental rakyat Malaysia terutama ketika dalam fasa pandemik Covid-19.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia pada 1 Julai lalu, secara keseluruhan masalah kesihatan mental telah menjangkau ke angka 1,000 dari 2019 sehingga Mei 2019 sekali gus menyaksikan kes bunuh diri berlaku dua kali sehari.

Menurutnya, statistik tersebut adalah gambaran utama permasalahan penyakit mental dalam masyarakat yang perlu diselesaikan secara tuntas dan bersama atas tanggungjawab sebagai sebuah masyarakat.

“Ini termasuk usaha untuk membimbing mereka yang didapati terlibat dalam cubaan untuk membunuh diri menerusi kaunseling.

“Ia berasaskan kaedah-kaedah rawatan kesihatan mental dan bukan terus menjatuhkan hukuman ke atas mereka seperti yang termaktub dalam Seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574).

“ABIM menegaskan kes cubaan membunuh diri yang berlaku adalah akibat tekanan sehingga menyebabkan seseorang itu menghadapi kemurungan melampau,” katanya dalam satu kenyataan bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada Ahad.

Mengulas lanjut, Faisal berkata, meletakkan hukuman tanpa mengetahui permasalahan sebenar dikhuatiri akan memburukkan lagi tekanan kepada individu yang terlibat.

Jelasnya, peningkatan kes bunuh diri yang berterusan juga menjelaskan peruntukan undang-undang gagal menyelesaikan masalah terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Ia memerlukan satu perubahan untuk menangani permasalahan dengan pemindahan kes dari pengadilan jenayah kepada bidang kuasa perubatan untuk penyelesaian yang lebih berkesan.

“ABIM juga merujuk negara-negara yang menjadi sumber terhadap pelaksanaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan di mana United Kingdom telah melakukan perubahan kepada peruntukan undang-undang ini menerusi Suicide Act 1961.

“Selain itu, India sendiri telah melakukan perubahan ke atas peruntukan undang-undang dengan memperkenalkan Mental Healthcare Act 2017.

“Seksyen 115 Akta berkenaan menyatakan, (1) Walau apa yang terkandung di dalam Seksyen 309 Kanun Keseksaan India (45 tahun 1860) mana-mana individu yang cuba membunuh diri akan dianggap tidak bersalah, kecuali dibuktikan, sebaliknya individu yang mengalami tekanan teruk tidak akan diadili dan dihukum di bawah Kanun tersebut,” ujarnya.