Pekerja kedai perabot ditemui maut ditetak di bilik sewa

Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian.
Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja kedai perabot ditemui mati disyaki dibunuh di sebuah rumah di Taman Serdang Utama di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kes itu pada jam 6.07 petang.

"Lelaki berusia 43 tahun itu ditemui di bilik rumah berkenaan dalam keadaan terbaring dan ada kesan darah pada kepala dan badannya.

"Terdapat beberapa kesan tetakan pada kepala, rusuk kanan, belakang badan, dan kedua-dua belah lengannya," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Anbalagan berkata, mangsa yang masih bujang itu telah menyewa di bilik rumah tersebut sejak lima tahun lalu.

"Dalam rumah itu terdapat beberapa bilik yang dibuat dan disewakan kepada penyewa dengan menggunakan papan sebagai dinding," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, tiada saksi nampak kejadian itu.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anbalagan memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.