RMK12: Sektor agromakanan dijangka berkembang

Sektor pertanian diunjur berkembang sebanyak 3.8 peratus setahun dalam tempoh RMK12 dan menyumbangkan 7 peratus kepada KDNK pada tahun 2025.
Sektor pertanian diunjur berkembang sebanyak 3.8 peratus setahun dalam tempoh RMK12 dan menyumbangkan 7 peratus kepada KDNK pada tahun 2025.
A
A
A

SHAH ALAM - Sektor agromakanan dijangka akan berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sekali gus meletakkan sektor tersebut sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sektor pertanian diunjur berkembang sebanyak 3.8 peratus setahun dalam tempoh RMK12 dan menyumbangkan 7 peratus kepada KDNK pada tahun 2025.

“Dalam tempoh pelaksanaan RMK12 juga, sektor pertanian akan dipergiat dengan menggunakan teknologi pintar untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara merentas semua subsektor agromakanan.

“Inisiatif ini termasuk menerima pakai kaedah pertanian berteknologi tinggi merangkumi analisis data raya (BDA), kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT) serta peralatan tepat seperti dron, robotik dan sensor di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, kaedah pertanian pintar secara menegak dan tertutup juga akan diperluas dengan memanfaatkan tanah sedia ada dan bangunan terbiar.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

“Melangkah ke hadapan, petani akan digalakkan untuk menerima pakai amalan pertanian organik untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah terhadap produk organik dan menjana pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam bidang perikanan tangkapan pula, beliau berkata, koperasi dan persatuan akan digalakkan untuk menceburi aktiviti perikanan laut dalam serta laut lepas dengan menggunakan kapal moden dan peralatan inovatif.

Artikel Berkaitan:

“Ini bertujuan untuk meningkatkan hasil dan daya saing serta menggalakkan industri perikanan yang mampan.

“Bidang ternakan pula akan diberi fokus dengan matlamat meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan keselamatan makanan melalui amalan penternakan baik serta moden,” katanya.

Dalam pada itu, Ronald berkata, bagi menggalakkan pemodenan dalam sektor pertanian, mekanisme pembiayaan dan struktur insentif baharu akan diperkenal untuk mempercepat pembangunan industri berpotensi tinggi, terutama bagi menerima guna teknologi 4IR.

Katanya, dana pertanian pintar yang khusus akan diwujudkan untuk mempercepat penerimagunaan teknologi moden dalam sektor pertanian di samping menyediakan peluang kepada petani terutama agropreneur muda untuk memodenkan aktiviti pertanian di sepanjang rantaian nilai.

“Inisiatif ini akan menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menghasilkan lebih banyak produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi selain menangani isu sekuriti makanan serta kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang berkemahiran rendah,” ujarnya.

Ronald berkata, petani, koperasi, persatuan serta industri pertengahan dan hiliran akan turut digalakkan untuk memanfaatkan platform e-dagang bagi meningkatkan pemasaran hasil pertanian bagi mengurangkan kebergantungan yang berlebihan kepada orang tengah.

“Platform ini juga akan membuka peluang kepada penyumberan luar (outsourcing) perkhidmatan jentera dan peralatan perladangan bagi memanfaatkan sepenuhnya sumber dan mencapai kecekapan kos.

"Selain itu, kemahiran tenaga kerja akan dipertingkat melibatkan golongan belia melalui semakan semula kurikulum dan modul latihan untuk mewujudkan tenaga kerja yang kompeten bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ronald turut menyambut baik penekanan aspek sekuriti makanan yang telah diberikan keutamaan sewajarnya dalam RMK12 dengan keluluasan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Katanya, ia dapat meningkatkan keupayaan sektor agromakanan sebagai suatu sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti makanan negara.

“Elemen jaminan sekuriti makanan merupakan prioriti MAFI untuk tempoh lima tahun akan datang dalam usaha meningkatkan ketersediaan makanan negara dan dijajarkan dalam dokumen dasar utama Kementerian iaitu Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MAFI komited untuk melaksanakan semua strategi yang telah digariskan di bawah RMK12 bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam mencorak semula masa hadapan negara selaras dengan matlamat kemakmuran, inklusiviti dan kemampanan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.