Perak dijangka tutup 25 PPV hujung bulan ini

No Image Caption
A
A
A

KAMPAR - Kesemua 25 pusat pemberian vaksin (PPV) awam di Perak dijangka akan ditutup sepenuhnya penghujung bulan ini, kata Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) selepas mengambil kira kadar vaksinasi lengkap bagi dewasa akan mencapai sasaran 80 peratus tidak lama lagi selain kurangnya kehadiran penerima vaksin di PPV.

"Setakat hari ini (Sabtu), sebanyak sembilan PPV awam telah ditutup sejak 1 Oktober lepas antaranya PPV Dewan Merdeka Lenggong, Dewan Bandaran Kinta Batu Gajah, Dewan Serbaguna, Dewan Tan Sri Ghazali Jawi Slim River serta Dewan Besar Felcra Seberang Perak dan PPV terakhir yang akan ditutup ialah PPV Stadium Indera Mulia di Ipoh.

"Bagaimanapun bagi mereka yang belum melengkapkan dos kedua boleh pergi ke klinik atau hospital berhampiran dengan tempat tinggal selain kami akan mempergiatkan program outreach ke merata tempat," katanya.

Mohd Akmal berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program pengumpulan minyak masak terpakai di Pondok Raudatul Muttaqin, Malim Nawar di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Mohd Akmal berkata, pihaknya akan mempergiatkan lagi kempen pengumpulan minyak masak terpakai di setiap daerah bagi mengurangkan bahan itu daripada dibuang begitu sahaja ke dalam sistem perparitan awam dan sungai.

"Minyak masak terpakai ini boleh diproses menjadi biodiesel, syampu, sabun atau lilin sekali gus mampu menjana pendapatan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: