Markas BN DUN Ajil dijangka 'tutup' awal

Ahmad (dua dari kanan) merakam gambar ketika menghadiri Program Madani Afiat & One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Kuala Terengganu, pada Ahad.
Ahmad (dua dari kanan) merakam gambar ketika menghadiri Program Madani Afiat & One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Kuala Terengganu, pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Markas Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil di Hulu Terengganu dijangka ditutup awal ekoran desas-desus kononnya berlaku unsur-unsur sabotaj calon di DUN berkenaan.

Ia berlaku susulan keputusan BN mengumumkan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KMM), Datuk Seri Jailani Johari sebagai calon bagi kerusi itu.

Terdapat beberapa kenyataan tular mengatakan keputusan itu menyebabkan penyokong BN tidak berpuas hati kerana ramai menyangka Timbalan Pengerusi UMNO Hulu Terengganu, Tengku Mahari Tuan Chik diumumkan sebagai calon kerusi tersebut.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, keputusan meletakkan Jailani di kerusi itu dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya akur, kita pertimbangkan dan kita dah bincangkan. Presiden dah buat keputusan itu hak dia.

"Politik itu biasa selagi tidak serah borang dan isytihar sebagai calon, ia belum pasti. Apa-apa boleh berlaku saya juga begitu (mungkin situasi itu akan berlaku di Terengganu) saya tak boleh cakap, saya bukan ahli nujum," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Madani Afiat & One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Kuala Terengganu, pagi Ahad.

Nama Jailani diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama 106 calon Barisan Nasional (BN) lain yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Pengumuman Calon BN PRN ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat malam.

Sumber mendakwa, rata-rata penduduk menolak Jailani kerana tidak pernah turun padang mendekati pengundi dan mengambil tahu masalah rakyat.

Sehubungan itu, terdapat khabar angin bahawa penyokong BN Ajil dijangka mengadakan bantahan berhubung perkara itu pada tengah hari Ahad.

Jailani yang pernah menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu sebelum ini digugurkan daripada menjadi calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, sekali gus tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu yang dimenanginya pada PRU13.

Tempat beliau ketika itu digantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Wahid yang memenangi kerusi itu pada 1999 sehingga 2013.

Pada PRU13 lalu, Jailani mendapat 31,940 undi ketika menewaskan calon Pas, Kamaruzaman Abdullah yang memperoleh majoriti 8,213 undi.