MOSTI terima 322 permohonan geran MySI: Dr Adham

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

KLUANG - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerima sebanyak 322 permohonan geran Malaysia Social Innovation (MySI) 2021 sejak Januari sehingga bulan lepas, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, peruntukan sehingga RM300,000 bagi setiap permohonan ditawarkan bagi pembangunan aplikasi tempatan berinovatif sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

"Pengkhususan yang diberi keutamaan (untuk geran ini) termasuk bidang tenaga, perniagaan, perkhidmatan kewangan, budaya, kesenian dan pelancongan, serta perubatan dan kesihatan.

“Inisiatif ini juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, meningkatkan produktiviti dan pendapatan komuniti terlibat dengan pulangan pelaburan yang terjamin," katanya ketika berucap selepas melawat Tapak Projek Ternakan Moden Kelulut Modular Inovasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, dari 2015 hingga tahun lepas, inisiatif MySI yang membabitkan dana berjumlah RM48 juta menerusi 234 projek aplikasi teknologi tempatan berinovatif, berjaya memanfaatkan hampir 100,000 penerima di seluruh negara.

Untuk rekod, MySI merupakan antara usaha kerajaan mengetengahkan teknologi tempatan yang berinovatif dalam menangani isu-isu komuniti setempat.

Penawaran dana itu juga sebagai usaha melonjakkan ekonomi negara daripada negara pengguna teknologi kepada pengeluar teknologi, selain menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi dan berpendapatan tinggi.

Sementara itu, Dr Adham berkata, Projek Teknologi Bee-Modular-UTM yang berasaskan prinsip tanggungjawab sosial menerusi aplikasi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE), telah memanfaatkan 100 komuniti B40 melalui ternakan kelulut yang lebih mampan, inovatif dan berkesan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, projek tersebut dijangka dapat menghasilkan pendapatan sehingga RM1,500 sebulan bagi setiap set modular sarang lebah, bergantung kepada hasil jualan produk mentah seperti madu dan produk hiliran. - Bernama