Mohamad Yusop terima anugerah pingat kebesaran JBPM

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohamad Yusop Hamzah menahan sebak sewaktu menerima pingat pada Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM yang disampaikan oleh Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid di kediamannya hari. - Foto Bernama
Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohamad Yusop Hamzah menahan sebak sewaktu menerima pingat pada Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM yang disampaikan oleh Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid di kediamannya hari. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini menganugerahkan pingat kebesaran jabatan kepada bekas Timbalan Ketua Pengarahnya Mohamad Yusop Hamzah sebagai pengiktirafan dan penghormatan tertinggi bagi mengenang jasa beliau.

Penganugerahan Bintang Jasa Bomba itu disampaikan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid kepada Mohamad Yusop, 86, di kediamannya di Taman Setapak di sini pada 12 tengah hari tadi.

Mohammad Hamdan berkata, penganugerahan tertinggi itu sebagai penghargaan kepada Mohamad Yusop yang pernah menabur khidmat bakti kepada jabatan selama 31 tahun sejak era penjajahan British sebelum penyatuan Bomba sehinggalah kepada penyatuan pada 1976.

“Beliau merupakan anak Melayu pertama yang dilantik sebagai timbalan ketua pengarah bomba sebelum bersara pada 1988,” katanya kepada pemberita pada majlis itu.

Mohammad Hamdan turut menyampaikan sumbangan kewangan bagi meringankan beban serta kos perubatan Mohamad Yusop yang disahkan menghidap kanser usus tahap empat pada 4 Feb lepas.

Menurut cucu sulungnya, Tengku Noor Zaharina Tengku Zainal Anura, 37, Mohamad Yusop mengalami masalah penghadaman sebelum dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 7 Feb lepas.

“Datuk saya dirawat di HKL kira-kira sebulan dan kini pergerakan beliau terbatas dengan turut memerlukan bantuan oksigen berbanding sebelum ini kesihatannya normal malah boleh berjalan tanpa bantuan,” katanya.

Mohamad Yusop yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor, mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Sabak Bernam sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris, Jalan Pasar di sini.

Artikel Berkaitan:

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Victoria Institution Kuala Lumpur sehingga ke peringkat Cambridge Oversea School Certificate.

Pada 1 Dis 1957, beliau menyertai perkhidmatan Bomba Majlis Perbandaran Kuala Lumpur sebagai ‘Sub-Officer’ dan dinaikkan pangkat sebagai ‘Station Officer’ pada 1963 sebelum dihantar berkursus di United Kingdom.

Sepanjang perkhidmatan, beliau menyaksikan perkembangan dan perubahan perkhidmatan kebombaan dari era penjajahan British dan di atas kecemerlangan yang ditunjukkan, beliau telah dipertanggungjawabkan untuk menubuhkan perkhidmatan bomba di Sabah pada 1968.

Mohamad Yusof telah berkahwin dengan arwah Rahmah Ahmad serta dikurniakan empat anak lelaki dan empat anak perempuan serta 27 orang cucu dan 17 cicit. - Bernama