PN Melaka terbuka jika tiada PRN

Mohd Rafiq ketika sidang akhbar program Hari Sukan Negara peringkat negeri di Serkam pada Sabtu.
Mohd Rafiq ketika sidang akhbar program Hari Sukan Negara peringkat negeri di Serkam pada Sabtu.
A
A
A

JASIN - Perikatan Nasional (PN) Melaka terbuka dan menerima apa jua keputusan kerajaan Pusat sekiranya diputuskan tiada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam menyelesaikan kemelut politik di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pihaknya yakin dan percaya kerajaan akan membuat pertimbangan terbaik sebelum membuat sebarang keputusan termasuk mengisytiharkan proklamasi darurat susulan pandemik Covid-19.

"Oleh itu kita akur segala keputusan yang akan dibuat kerana sudah tentu ia akan mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan rakyat dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

"Jadi saya yakin semua pertimbangan itu akan mengambil kira laporan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandangkan kepentingan rakyat harus mengatasi kepentingan politik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika program Hari Sukan Negara peringkat negeri di Serkam di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu berkata, sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengadakan juga PRN, PN Melaka akan tetap menyertainya.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (bersatu) jika PRN diadakan, Mohd Rafiq yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri akur dengan keputusan itu.

Menurutnya, parti itu dan PN akur dengan Presiden UMNO yang menegaskan tiada sebarang kerjasama dengan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Namun kita (PN negeri) tidak bersendirian kerana mempunyai gabungan lima parti, di peringkat Semenanjung ada tiga buah parti iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan.

"Kita sentiasa menjalinkan kerjasama yang erat antara ketiga-tiga parti komponen ini," ujarnya.