X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Cheng Hoe mahu Harimau Malaya lebih fokus

Cheng Hoe mahu pemain-pemain negara fokus dalam perlawanan menentang Uzbekistan.
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu pemain negara tidak leka dan mengulangi kesilapan sama ketika tewas kepada Jordan apabila berdepan Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan, pada Sabtu.

Menurut Cheng Hoe, kelebihan sememangnya berpihak kepada Uzbekistan di atas kertas, namun pemain khasnya bahagian pertahanan perlu mengambil pengajaran semasa perlawanan pertama sebelum ini.

“Kebiasaannya kesilapan individu akan menyebabkan pasukan negara bolos mudah seperti ketika menentang Jordan tempoh hari, jadi barisan pertahanan pada kali ini perlu lebih fokus supaya tidak melakukan kesilapan mudah yang dan merugikan pasukan.

“Kita tahu Uzbekistan merupakan satu pasukan yang lebih baik daripada Jordan tetapi kita perlu perbaiki prestasi dari segi individual dan juga perbaiki dari segi bermain sebagai satu pasukan.

"Apa juga sekali pun, kita perlu sekurang-kurangnya memberi tentangan yang terbaik berdepan Uzbekistan,” ujarnya pada sidang media secara dalam talian pada Jumaat menjelang perlawanan persahabatan menentang Uzbekistan.

Anak buah Cheng Hoe yang tewas 0-4 kepada Jordan di Stadium King Abdullah II sebelum ini akan meneruskan aksi persahabatan menentang pasukan di kedudukan ranking ke-84 dunia tersebut.

Untuk rekod, Harimau Malaya akan bersaing merebut kejuaraan Piala AFF 2020 di Singapura pada Disember ini, sebelum menyambung misi memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023 pada pusingan ketiga kelayakan kempen itu tahun depan.

Sementara itu, Cheng Hoe masih belum memuktamadkan barisan pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan tersebut.

Jelasnya, dia juga tidak akan hanya memberikan fokus kepada bahagian tertentu tetapi juga melihat impak yang mampu diberikan terhadap pasukan.

“Kita juga tidak berikan fokus kepada satu bahagian, contohnya serangan sahaja. Kita juga nak tengok di posisi tengah dan juga pertahanan.

“Kemungkinan juga kita akan buat rombakan besar untuk perlawanan ini, tetapi yang pasti kita mahu semua pemain berada dalam prestasi terbaik untuk berdepan Uzbekistan,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat berazam untuk memberikan aksi terbaik sekiranya diturunkan berdepan Uzbekistan.

“Kami akan berikan yang terbaik, tetapi pada masa sama tetap realistik dengan kemampuan pemain negara.

“Kelebihan memang berpihak Uzbekistan, tetapi kami juga ada kualiti dan akan berikan tentangan.

“Kami akan berikan tentangan sengit demi maruah negara dan supaya penyokong nampak kami bermain sepenuh jiwa berdepan Uzbekistan,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!