X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

SUK Melaka jamin penjawat awam laksana tugas bertanggungjawab

Datuk Kamel Mohamad
A
A

MELAKA - Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad memberi jaminan semua penjawat awam di negeri itu akan bekerja dengan bertanggungjawab dan berkhidmat dengan penuh muhibah dan kemesraan sepertimana termaktub dalam Ikrar Perkhidmatan Awam.

Kamel berkata, beliau sentiasa mengingatkan semua ketua jabatan di negeri itu supaya sentiasa membuat keputusan secara profesional dan mematuhi segala peruntukan undang-undang, peraturan serta pekeliling yang sedang berkuat kuasa.

"Merujuk kepada laporan akhbar dakwaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak dilayan dengan adil, saya akan memastikan semua penjawat awam negeri Melaka, pada setiap masa, akan bekerja dengan tanggungjawab dan berkhidmat dengan penuh muhibah dan kemesraan sepertimana Ikrar Perkhidmatan Awam.

"Perkhidmatan awam di negeri ini juga komited mendukung konsep berkecuali dan 'Goverment of The Day' sebagai jentera yang akan melaksanakan segala dasar yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi negeri dan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkhidmatan awam di Melaka tidak terkesan dengan situasi semasa negeri dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

"Saya juga memberi jaminan bahawa segala perancangan pembangunan yang telah diluluskan akan terus dilaksanakan.

"Malahan semua jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini di arah terus meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam penyampaian perkhidmatan dengan memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi Melaka," katanya.

Sebelum ini muncul dakwaan ada dalam kalangan bekas ADUN 'dibuli' pentadbiran kerajaan negeri selepas menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!