Pendengaran permohonan sekat PetroSaudi guna dana dikait 1MDB tangguh

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendengaran permohonan kerajaan untuk menyekat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan pengarahnya, Tarek Obaid daripada menggunakan lebih AS$340 juta yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di United Kingdom (UK) ditangguhkan.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menangguhkan pendengaran pada Jumaat untuk memberi laluan kepada firma guaman, Clyde & Co LLP di United Kingdom mengesahkan sama ada mereka mahu menjawab dan mengemukakan afidavit berhubung dokumen yang disampaikan kepada mereka atau sebaliknya.

Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed memberitahu Ahmad Shahir bahawa pihak pendakwaan telah menyampaikan dokumen berkenaan kepada tiga entiti asing yang disebut dalam permohonan iaitu Petrosaudi International Limited di Arab Saudi serta dua syarikat yang berpangkalan di London, yakni Clyde & Co dan Temple Fiduciary Services Ltd.

"Kami telah menghubungi wakil National Crime Agency (NCA), Danial Murphy dan beliau mengesahkan bahawa kerajaan UK telah menyerahkan dokumen berkenaan kepada Clyde & Co pada 1 Oktober.

"Beliau turut menyampaikan pesanan mahkamah kepada Clyde & Co, bertanya sama ada syarikat itu berhasrat untuk memberikan maklum balas, tetapi sehingga kini kami belum menerima apa-apa jawapan daripada mereka," kata Budiman semasa prosiding pada Jumaat.

Budiman berkata, syarikat itu memaklumkan bahawa dokumen berkenaan telah diserahkan kepada mereka dan diterima oleh wakilnya, Sarah Wheatly.

"Setelah berbincang dengan pihak yang berkaitan dan demi keadilan, mungkin Clyde & Co perlu diberi waktu untuk memberikan maklum balas kepada permohonan dan pihak pendakwaan akan berkomunikasi dengan NCA bagi mendapatkan maklumat terkini dari firma guaman," katanya.

Peguam Alex Tan dan Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili anak syarikat PSI dari Amerika Selatan, PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Ltd (PSOS-VZ) dan Tarek Obaid, masing-masing, tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Shahrir kemudiannya menetapkan 22 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes bagi pihak pendakwaan mengemas kini perkembangan berhubung maklum balas Clyde & Co's respond. - Bernama