Kebenaran rentas negeri serentak seluruh negara: PM

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kebenaran rentas negeri akan dilaksanakan serentak di seluruh negara sebaik sahaja kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus dan kesemua negeri melebihi 80 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengumuman itu dijangka dibuat dalam waktu terdekat bagi memastikan semua negeri berpeluang diberi kelonggaran sama.

"Rentas negeri akan diumumkan tidak lama lagi, kita tunggu. Pengumuman akan melibatkan seluruh negara secara serentak.

"Apabila saya kata 80 peratus sebelum ini tetapi masih ada program vaksinasi di negeri-negeri yang rendah. Kalau kita buka seluruh negar mungkin akan memberikan kesan yang tidak baik kepada negeri yang kurang peratusannya.

"Kalau 90 peratus, kita jangka purata negeri-negeri sudah melebihi 80 peratus. Sebab itu kita akan umum dalam waktu terdekat. Tidak lama lagi (umum)," katanya selepas Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia bertempat di Auditorium Perdana Wisma Radio, Angkasapuri pada Jumaat.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikannya sebelum ini memutuskan rakyat dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sehingga semalam, kadar vaksinasi dewasa di negara ini sudah mencapai 89.1 peratus.

Artikel Berkaitan: