Kadar duti setem 0.1 peratus bermula Julai ini

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kadar duti setem bagi saham yang didagangkan di Sekuriti Bursa Malaysia dikurangkan kepada 0.1 peratus daripada 0.15 peratus daripada nilai kontrak bermula Julai ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar tersebut tertakluk kepada had maksimum RM1,000 setiap kontrak.

"Perubahan ini secara langsung akan mengurangkan kos urus niaga sekuriti dan menjadikan pasaran saham Malaysia lebih kompetitif.

"Saya yakin langkah ini akan merangsang pasaran dan meningkatkan daya tarikannya.

"Peningkatan kecairan pasaran akan menarik lebih banyak dana domestik dan asing ke dalam pasaran saham Malaysia sekali gus menggalakkan PKS untuk meneruskan tawaran awam permulaan (IPO) selain memudahkan syarikat tersenarai awam mengumpul dana untuk mengembangkan perniagaan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Bakat Pasaran Modal Untuk Graduan (investED) pada Isnin.

Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi menggalakkan syarikat disenaraikan di papan utama bursa, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia akan melaksanakan pembaharuan berkenaan tahun ini.

“Ia bertujuan memudah dan mempercepatkan penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia selain mempercepatkan proses IPO serta mengurangkan masa untuk syarikat ke pasaran,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:PM saran beri elaun munasabah kepada pelatih industri

Anwar lancar InvestED, tingkat kebolehpasaran graduan