Jimatkan guna alat komunikasi di kawasan banjir

Amrun (depan, tiga kiri) bersama Arifin (depan, dua kiri) dalam Program Pemasangan Peralatan Komunikasi Bencana Daerah Dungun di Balai Raya Kampung Kepong, Marang pada Jumaat
Amrun (depan, tiga kiri) bersama Arifin (depan, dua kiri) dalam Program Pemasangan Peralatan Komunikasi Bencana Daerah Dungun di Balai Raya Kampung Kepong, Marang pada Jumaat
A
A
A

MARANG- Orang ramai terutama yang tinggal di kawasan terjejas akibat bencana banjir dinasihatkan menjimatkan penggunaan peralatan komunikasi jika berlaku gangguan bekalan elektrik dengan menggunakannya untuk urusan penting seperti membuat panggilan kecemasan sahaja.

Pengerusi Kelab Radio Amatur Komunikasi Bencana- Squad 99 Terengganu, Amrun Mamat berkata, sebagai sebuah pertubuhan sukarela yang ditubuhkan untuk membantu kerajaan dalam menyediakan komunikasi apabila berlaku bencana dalam negeri, pihaknya sentiasa prihatin dengan ilmu tentang komunikasi bencana.

"Anggota Squad 99 sentiasa diberi latihan dalam bidang komunikasi bencana dan berusaha untuk melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu ini, terutamanya ilmu komunikasi bencana.

"Biasanya dalam menghadapi segala bentuk bencana, Skuad 99 akan memberi sumbangan komunikasi kepada semua badan terlibat seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN); Polis Diraja Malaysia ( PDRM); pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas Program Pemasangan Peralatan Komunikasi Bencana Dungun, di Balai Raya Kampung Kepong, di sini, pada Jumaat.

Menurut beliau, selain bantuan tenaga, pihaknya juga menyumbangkan perkhidmatan barang atau peralatan yang diperlukan seperti radio, rig, repeater atau handy.

Jelas Amrun, hasil perbincangan sebelum ini bersama pihak terbabit, pihaknya sudah mengenal pasti tujuh pusat pemindahan sementara ( PPS) di Hulu Dungun yang sering mengalami gangguan perkhidmatan ekoran terputusnya bekalan elektrik di menara komunikasi setiap kali berlakunya bencana.

"PPS tersebut termasuk Dewan Orang Ramai Kampung Tepus dan Kampung Minda; Balai serbaguna Kampung Rantau Panjang; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengal; Balai penghulu Kampung Bongok Batu; Dewan Orang Ramai Kampung Shukor dan Kampung Pasir Raja.

"Selain mencadangkan pihak berwajib menaiktaraf sistem komunikasi radio sedia ada, kami telah meminjamkan beberapa peralatan komunikasi radio dan bekalkan beberapa unit handy (walkie talkie) untuk kegunaan petugas tempat semasa bencana, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, sejajar dengan usaha untuk memastikan perkhidmatan komunikasi yang stabil, pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi telah menyediakan pelan pemulihan bencana untuk mengelakkan gangguan perkhidmatan yang berpanjangan.

“Antaranya, setiap PPS akan dipasang dengan antenna dan antenna pole yang akan disambungkan menggunakan kabel komunikasi RG58.

Setiap PPS juga akan dibekalkan dengan radio komunikasi (radio amatur) dan beberapa buah handy (walkie talkie) untuk kegunaan tempatan," katanya.