Bursa Malaysia catat dagangan tinggi pada sesi tengah hari

Bursa Malaysia
Bursa Malaysia
A
A
A

BURSA Malaysia mengekalkan rentak dagangan yang positif pada akhir sesi awal urus niaga hari ini, disokong oleh kegiatan belian di kaunter berwajaran tinggi yang didahului oleh Press Metal dan Top Glove.

Ketika dagangan berhenti rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 3.43 mata kepada 1,564.72 berbanding 1,561.29 pada penutupan urus niaga Khamis.

Indeks utama yang dibuka 0.86 mata lebih tinggi pada 1,562.15, bergerak antara 1,558.56 dan 1,566.84 di sepanjang sesi pagi hingga tengah hari.

Press Metal mengukuh 16 sen kepada RM6.06, sementara Top Glove meningkat tujuh sen kepada RM2.82. Apabila digabungkan, kedua-dua saham ini menyumbang 3.35 mata kepada indeks komposit.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan kekal rancak dengan kaunter untung berjumlah 494 manakala kaunter rugi 451, 442 kaunter tidak berubah, 882 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 2.79 bilion unit bernilai RM1.77 bilion.

Seorang peniaga berkata, sentimen di pasaran bertambah baik selepas menyaksikan kerancakan semalaman pasaran saham Amerika Syarikat dengan penggubal undang-undang telah mencapai kata sepakat untuk meningkatkan siling hutang negara dalam tempoh terdekat ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan IHH masing-masing naik dua sen kepada RM8.07 dan RM6.65, Petronas Chemicals menambah satu sen kepada RM8.69, CIMB meningkat empat sen kepada RM4.90, sementara Public Bank dan Tenaga masing-masing turun satu sen kepada RM4.07 dan RM9.72.

Artikel Berkaitan:

Bagi saham aktif, SC Estate turun empat sen kepada 12.5 sen dan Alam Maritim susut setengah sen kepada lima sen, sementara Opcom naik enam sen kepada RM1.52 dan KNM menambah setengah sen kepada 22.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 26.27 mata pada 11,499.49, Indeks FBMT 100 memperoleh 30.93 mata kepada 11,161.85, Indeks FBM Emas Syariah untung 26.65 mata kepada 12,634.85, dan FBM 70 melonjak 67.22 mata kepada 15,092.07.

FBM ACE, bagaimanapun jatuh 45.4 mata kepada 7,091.7.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 35.82 mata kepada 15,235.16, Indeks Perladangan naik 7.23 mata kepada 6,968.12, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.78 mata kepada 209.43. - Bernama