3,202 pelajar KPTM sertai e-KESWA secara maya

Amalina
Amalina
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 3,202 pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di daerah ini akan menyertai Electronic KPTM’S Excellence and Sports Week (e-KESWA) 2021 yang bakal berlangsung secara maya bermula Ahad ini.

Pengarah Program e-KESWA 2021, Amalina Abdul Kadir berkata, program adalah acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh warga KPTM, masyarakat setempat dan pelajar-pelajar sekolah di sekitar.

Katanya, menerusi acara ini, pelajar berpeluang untuk menterjemahkan bakat dalam bidang akademik, kesenian dan kemahiran.

“E-KESWA akan menampilkan pelbagai pertandingan, pertunjukan dan persembahan diadakan sebagai memenuhi keperluan akademik dan kokurikulum pelajar.

“Pelajar-pelajar yang terlibat adalah daripada tujuh program diploma di KPTM Kota Bharu iaitu Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Kewangan dan Perbankan Islam, Pengurusan Pelancongan, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Kejururawatan dan Agroteknologi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.

Ujar beliau, KPTM menyahut cabaran untuk bergerak seiring bersesuaian dengan perubahan suasana pendidikan yang berlaku.

“Sambutan daripada peserta ternyata di luar dugaan walaupun acara pertama kali diadakan secara dalam talian pada tahun pertama Covid-19 melanda Malaysia.

“E-KESWA sekali lagi akan berlangsung secara maya bermula 10 Oktober hingga 12 Oktober ini mengikut kategori pertandingan, webinar dengan pameran hasil atau keputusan pertandingan dan webinar akan dimuat naik ke laman sesawang e-KESWA iaitu https://ekeswa.kptm.online yang boleh diakses umum,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, program itu akan mendedahkan mahasiswa dengan penggunaan teknologi terkini dalam penyediaan bahan-bahan digital.

“Mahasiswa juga diberi peluang untuk menganjur dan melaksanakan sendiri program yang melibatkan aktiviti berunsurkan kurikulum, kokurikulum serta keusahawan secara maya.

“E-KESWA juga adalah platform untuk mewujudkan dan mengukuhkan jaringan industri KPTM Kota Bharu dengan organisasi luar seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), institusi pendidikan pengajian tinggi dan agensi-agensi persendirian,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KPTM Kota Bharu, Raja Izuddin Raja Ahmad berkata, e-KESWA pada tahun ini amat istimewa kerana buat julung kali Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan membuat Pelancaran Pusat Satelit MyFuture Job di KPTM Kota Bharu pada Majlis Perasmian e-KESWA pada Ahad ini.

“Pelancaran akan dapat disaksikan secara maya di laman sesawang e-KESWA yang boleh dicapai pada bila-bila masa sepanjang e-KESWA berlangsung,” katanya.