Comirnaty vaksin penggalak pertama diluluskan


DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Vaksin Comirnaty keluaran Pfizer Manufacturing Belgium NV (Belgium) dan BioNTech Manufacturing GmbH, Germany menjadi yang pertama diluluskan untuk pemberian dos penggalak di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang bersidang telah memberi kelulusan bersyarat.

"Pemberian dos penggalak diberikan sekurang-kurangnya selepas enam bulan dos kedua untuk golongan berumur 18 tahun dan ke atas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kelulusan pendaftaran bersyarat memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin ini dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif," katanya.

Beliau berkata, vaksin Comirnaty sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 hingga 17 tahun pada 15 Jun lalu.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD," katanya.

Isnin lalu, Dewan Rakyat diberitahu pemberian suntikan penggalak vaksin Covid-19 yang dijadual bermula bulan ini dan boleh menggunakan kaedah campuran vaksin berbeza atau heterologi.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu disyorkan setelah kajian mengenai keselamatan campuran vaksin dilaksanakan.