Verstappen kekalkan keunggulan Red Bull di Belgium

Verstappen
Verstappen
A
A
A

PENDAHULU kejuaraan Formula Satu (F1), Max Verstappen melakar kemenangan kelapan berturut-turut, kurang satu daripada rekod sepanjang zaman, selepas Red Bull mendominasi kedudukan satu-dua dengan Sergio Perez dalam Grand Prix (GP) Belgium di Litar de Spa-Francorchamps, Stavelot, Belgium.

Kemenangan ke-13 berturut-turut Red Bull menjadikan pasukan itu yang pertama dalam sejarah 73 tahun sukan pemotoran tersebut memenangi 12 perlumbaan pembukaan semusim, lebih satu daripada McLaren pada 1988 bersama Ayrton Senna dan Alain Prost.

Verstappen, kelahiran Hasselt, Belgium berusia 25 tahun yang bermula di tempat keenam selepas penalti grid lima tempat, melebarkan pendahuluan kejuaraan ke atas Perez kelahiran Mexico tersebut kepada 125 mata.

"Saya tahu kami mempunyai jentera yang hebat, ia hanya mengenai bertahan di selekoh satu.

“Dari situ dan seterusnya kami membuat langkah memintas dan bergerak pada masa yang tepat,” kata juara dunia berganda itu, yang menang di Belgium untuk tiga tahun terakhir berturut-turut termasuk dari tangga ke-14 di grid tahun lalu.

Sementara itu, Charles Leclerc, yang bermula di petak pertama untuk Ferrari, menamatkan podium diikuti Lewis Hamilton di tempat keempat memperoleh pusingan terpantas untuk Mercedes.

Sebagai rekod, pencapaian penamat satu dua adalah yang kelima untuk Red Bull musim ini yang menyaksikan komunikasi berkesan antara Verstappen dengan jurutera perlumbaan pasukan Gianpiero Lambiase memberikan impak maksima kepada pasukan.