Peraga aksi lebih garang

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang Uzbekistan dalam aksi persahabatan pada Sabtu ini. - Foto Facebook FAM
Skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang Uzbekistan dalam aksi persahabatan pada Sabtu ini. - Foto Facebook FAM
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya diharap dapat memperagakan aksi lebih baik ketika berdepan Uzbekistan berbanding persembahan longlai ketika dibelasah Jordan 4-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium King Abdullah II, Amman pada Rabu.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mempunyai banyak ‘kerja rumah’ untuk dilakukan dalam usaha membentuk kombinasi pemain lebih baik ketika berdepan Uzbekistan.

“Kalau kita tengok perlawanan itu, kemampuan dan team work pemain dalam pasukan itu kurang. Selain itu pemain juga banyak hilang bola selain hantaran yang dilakukan juga tidak sampai kepada rakan sepasukan.

“Pemain juga macam tak tahu apa yang mereka buat di atas padang, tiada idea untuk mencorak permainan yang kemungkinan disebabkan tiada keserasian antara pemain baharu dan pemain senior dalam pasukan.

“Perlu diakui juga Jordan berada pada tahap berbeza. Namun, kita pergi bukan sekadar makan angin dan ini melibatkan maruah bola sepak negara. Jadi, Cheng Hoe perlu menerima dan mengkaji kekalahan ini dan come out dengan kombinasi yang lebih baik dalam perlawanan menentang Uzbekistan nanti.

“Sekurang-kurangnya pasukan kebangsaan mampu berikan tentangan sengit kepada Uzbekistan nanti walaupun kita tahu mereka sangat kuat,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Dalam pertemuan menentang Jordan, Malaysia bagaikan tiada jawapan untuk menangkis kekuatan pasukan tuan rumah apabila terpaksa akur dibelasah lawan hasil hatrik Ali Olwan pada minit ke-34, 47, 49 dan jaringan Al Saify pada minit ke-42.

Skuad Harimau Malaysia akan mengharungi aksi lebih getir apabila berdepan pasukan di ranking ke-84 dunia, Uzbekistan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Antarabangsa Amman pada Sabtu ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Azraai turut mengakui ketiadaan beberapa pemain utama negara yang tidak dipanggil kali ini memberikan kesan kepada prestasi keseluruhan pasukan negara.

“Sudah tentu ketiadaan beberapa pemain utama juga antara faktor. Macam Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid, kita tahu kedua-dua pemain itu antara watak penting pasukan di jentera serangan yang mempunyai keupayaan untuk menewaskan pemain lawan.

“Namun, seperti dikatakan oleh Cheng Hoe, perlawanan ini sebagai pendedahan kepada pemain baharu. Tetapi, kita juga mengharapkan aksi dan persembahan lebih baik dapat diberikan oleh pemain untuk perlawanan seterusnya,” ujarnya.