PN tidak sokong cadangan wujudkan Timbalan Speaker ketiga

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) berpendirian tidak menyokong sebarang cadangan mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kewujudan dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat seperti yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memadai bagi tujuan menjamin kelancaran persidangan di Dewan Rakyat.

Katanya, peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Ahli Dewan Rakyat mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat pada masa ketiadaan Yang di-Pertua dan timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga memadai bagi tujuan menjamin kesempurnaan perjalanan persidangan Dewan Rakyat.

“Justeru, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini.

“Cadangan pindaan Perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau berkata, PN turut berpendirian bahawa persefahaman antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara yang telah dipersetujui bersama dan termaktub secara jelas dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu.

Jelasnya, pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman tersebut dan tidak wajar bagi pihak tertentu menuntut pelaksanaannya.

“Atas dasar ini, PN telah membuat pendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: