Penyewa enggan keluar rumah

Penduduk berkumpul membantah dan membuat rayuan agar rumah mereka tidak disita. (Gambar kecil: Salah sebuah rumah yang telah disita.)
Penduduk berkumpul membantah dan membuat rayuan agar rumah mereka tidak disita. (Gambar kecil: Salah sebuah rumah yang telah disita.)
A
A
A

GEORGETOWN - Tindakan menyita 22 buah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis pagi tadi bertukar kecoh apabila beberapa penyewa enggan keluar dari kediaman mereka.

Sebelum itu, mereka telah berkumpul untuk membuat bantahan terhadap arahan pengosongan unit masing-masing pada jam 10 pagi.

Mereka turut merayu kepada kerajaan negeri agar memberi peluang kepada mereka untuk tinggal di rumah tersebut namun bertukar kecoh apabila pegawai Bahagian Perumahan Pulau Pinang bertindak mengunci rumah yang terlibat kira-kira jam 10.30 pagi.

Mereka yang pada mulanya berdiri di kawasan parkir perumahan itu telah naik ke rumah mereka dan berdiri di hadapan kediaman masing-masing bagi menghalang pegawai perumahan menjalankan tindakan mengunci serta menyita rumah.

Difahamkan, lapan penyewa telah mendapat notis untuk mengosongkan rumah tersebut bermula hari ini namun masih enggan berpindah.

Sehubungan itu, rumah mereka telah dikunci oleh pegawai Bahagian Perumahan Pulau Pinang kerana enggan mengikut arahan yang dikeluarkan.

Empat penyewa pula dikatakan telah menyerahkan kunci secara sukarela manakala selebihnya masih berunding dengan Kerajaan Pulau Pinang.

Kesemua mereka diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing selepas hilang kelayakan menduduki rumah PPR termasuk melebihi kemampuan, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing.

Artikel Berkaitan:

Seorang penyewa, Nazrimah Jamal Abidin, 44 berkata, dia mempunyai lapan orang anak berusia 24 hingga empat tahun yang mana, empat daripadanya masih bersekolah.

Tambahnya, dia tidak bekerja dan suaminya yang juga warga asing adalah seorang buruh kontrak.

"Saya sedar suami adalah warga asing, tetapi kami dah duduk di sini sejak 14 tahun lalu. Daripada dahulu, tak ada masalah untuk kami menyewa di sini.

"Saya tidak bekerja dan suami hanya bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan harian. Kami tak mampu cari rumah sewa lain," katanya ketika ditemui tadi.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, PPR kepada penyewa ditawarkan dengan syarat-syarat tertentu antaranya penyewaan selama lima tahun sahaja.

Menurutnya, selepas penyewa mampu meningkatkan pendapatan, mereka perlu memberi peluang menduduk rumah itu kepada penyewa lain yang lebih memerlukan.

"Sebagai contoh di PPR Taman Manggis sahaja ada lebih 400 pemohon berada dalam senarai menunggu selama lebih 10 tahun.

"Penyewa di PPR ini kita dapati ada yang telah melanggar syarat dan tindakan diambil kerana mereka tidak menepati syarat-syarat penyewaan. Bagaimanapun, kita akan mendengar dan meneliti rayuan mereka namun tetap mengambil tindakan kepada mereka yang telah melanggar syarat," katanya.

Terdahulu, Kerajaan Pulau Pinang memberi kelonggaran dengan memberi tempoh sehingga 6 Mac (hari ini) untuk 22 penyewa yang dikenakan tindakan pengusiran membuat rayuan agar dibenarkan terus tinggal di kediaman mereka.

Perkara itu disahkan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo yang memberi tempoh itu agar penyewa terlibat boleh membuat rayuan atau permohonan kepada Bahagian Perumahan Pulau Pinang untuk pertimbangan.

Menurutnya, kesemua permohonan atau rayuan perlu dibuat sebelum tarikh akhir tersebut.

Jagdeep berkata, semakan mendapati, 22 penyewa terlibat tidak mematuhi syarat-syarat kelayakan yang telah dikenakan oleh Bahagian Perumahan Pulau Pinang antaranya mempunyai tunggakan pembayaran kos penyewaan dan penyelenggaraan.

Tambahnya, ada antara mereka yang mempunyai pendapatan melepasi paras yang dibenarkan, berkahwin dengan orang asing selain penyewa juga didapati mempunyai hartanah sendiri.