Rosmah nafi terima RM6.5 juta

 Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi memberi keterangan dalam prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. Foto Bernama
Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi memberi keterangan dalam prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, bahawa beliau tidak pernah mengetahui dan menerima wang RM6.5 juta seperti yang dipertuduhkan ke atasnya.

Isteri bekas Perdana Menteri itu berkata demikian pada hari kedua prosiding bela diri bagi tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 69, berkata, kenyataan saksi pendakwaan yang menyatakan beliau menerima rasuah RM1.5 juta yang diletakkan dalam dua beg hitam jalur oren di Langgak Duta pada 7 September 2017 manakala RM5 juta dalam dua beg bagasi di Seri Perdana (kediaman rasmi Perdana Menteri) pada 20 Disember 2016, adalah fitnah.

Beliau juga menafikan, ada mengarahkan pelayannya untuk menerima atau mengangkat beg-beg tersebut ke biliknya.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Seri Perdana juga tidak dibawa masuk oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan sama ada bagasi tersebut benar-benar wujud,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Dalam pada itu, Rosmah berkata, beliau tidak pernah mendapatkan minit untuk Jepak Holding Sdn Bhd daripada Perdana Menteri bagi mendapatkan projek solar hibrid tersebut.

Beliau berkata, kesemua 11 minit dan initial Perdana Menteri untuk Jepak diperoleh oleh Datuk Aazmey Abu Talib namun tidak pernah dipanggil oleh pihak pendakwaan sebagai saksi.

Menurutnya, saksi-saksi pendakwaan, bersetuju dengan cadangan, bahawa minit-minit dan initial Perdana Menteri di atas surat Jepak didapatkan oleh Aazmey dan bukanlah daripadanya.

Artikel Berkaitan:

Mereka itu ialah saksi ke-17, Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin; ke-16, bekas rakan perniagaan Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah; bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor dan saksi ke-23, Pegawai Penyiasat, Noornabilah Aziman.

Sebelum ini, Rosmah mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 hingga 7 September 2017.

Perbicaraan bela diri di hadapan Mohamed Zaini bersambung esok.