Kemelut politik bawa kepada pembubaran DUN Melaka

Proklamasi Pembubaran DUN Melaka yang ke-14 itu diwartakan pada Selasa.
Proklamasi Pembubaran DUN Melaka yang ke-14 itu diwartakan pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan di Melaka selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubar, susulan kemelut politik di negeri itu.

Keputusan mengejutkan itu diumum Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu sidang akhbar khas kira-kira jam 3 petang Selasa.

Menurutnya, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Isnin.

Ab Rauf berkata, sepucuk surat telah dikemukakan kepada Mohd Ali yang memaklumkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sulaiman dan pada masa sama meminta perkenan untuk pembubaran DUN.

Proklamasi Pembubaran DUN Melaka yang ke-14 itu diwartakan pada Selasa.

Selepas seminggu desas-desus mengenai pergolakan politik dalam kerajaan Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) pada Isnin, mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Sebelum ini, kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas, manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

Idris dalam satu sidang akhbar sebelum pengumuman pembubaran DUN itu pada Selasa mendakwa dua lagi ADUN dijangka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Khas Yang Dipertua Negeri Melaka, Datuk Nur Azmi Ahmad sebelum itu ketika dihubungi mengesahkan menerima surat permohonan kunjungan hormat ke atas Mohd Ali daripada Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari pada Isnin bagi membincangkan senario politik semasa Melaka.

Bagaimanapun, Nur Azmi menyatakan tiada sebarang kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri boleh dilakukan mana-mana wakil parti politik hingga Khamis ini kerana Mohd Ali sedang menjalani kuarantin kendiri bermula 30 September lepas kerana menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum itu berkata, beliau mengambil maklum kebimbangan rakyat berhubung risiko penularan Covid-19 sekiranya PRN Melaka.

Susulan pengumuman pembubaran DUN Melaka itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, PN terbuka untuk berunding dengan UMNO bagi mengelak pertembungan tiga penjuru pada PRN berkenaan.

Pengerusi PKR Melaka, Datuk Halim Bachik pula berkata, PKR bersama-sama parti gabungan Pakatan Harapan (PH) telah bersedia dengan sebarang kemungkinan sejak krisis politik pasca Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Khoo Poay Tiong dalam kenyataan berkata, PRN akan menjejaskan proses pemulihan negara yang sedang beransur pulih daripada pandemik Covid-19.

Badan Perhubungan UMNO negeri dijangka mengadakan mesyuarat malam Selasa dengan dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengarah Pilihan Raya parti itu.

Sementara itu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan berkata, suruhanjaya itu telah menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober itu daripada Speaker DUN Melaka.

Ikmalrudin berkata, berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, satu pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN itu.

"SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut pada mesyuarat yang tarikhnya akan dimaklumkan kemudian," katanya. - Bernama