X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Malaysia mampu cabar Jordan, Uzbekistan

Cheng Hoe memberi arahan kepada skuad Harimau Malaya ketika sesi latihan di Amman pada Isnin. - FOTO: FB FAM
A
A

KAPTEN Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak optimis Malaysia mampu mencipta kejutan meraih keputusan seri berdepan Jordan dan Uzbekistan pada dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Amman, Jordan bulan ini.

Bagi meraih keputusan tersebut, tonggak pertahanan dan kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, setiap pemain skuad Harimau Malaya perlu elak daripada kerap melakukan kesilapan dalam kedua-dua aksi tersebut.

Beliau berkata, tugas lebih berat dipikul barisan pertahanan skuad kebangsaan sebagai benteng terakhir pasukan sekali gus mengingatkan setiap pemain yang akan diturunkan berupaya memberikan fokus sepenuhnya.

“Saya mengharapkan dan ingatkan diri sendiri yang kita tak boleh buat banyak kesilapan. Kesilapan akan ada dalam setiap perlawanan, cuma kita perlu tidak terlampau melakukannya.

“Sebab apabila bertemu pasukan seperti ini (Jordan dan Uzbekistan) kita selalu membuat kesilapan dan mereka akan hukum kita (pasukan) dengan jaringan. Kalau kita kurangkan kesilapan kita boleh mendapat sekurang-kurangnya seri,” katanya pada sidang media secara maya pada Selasa.

Mohamad Aidil turut menggesa rakan sepasukan dalam skuad kali ini yang tidak diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain utama selain dibarisi beberapa muka baharu, supaya tidak terlalu memikirkan mengenai kekuatan pasukan lawan.

Beliau berkata, sesetengah pemain akan berasa gugup dan tertekan apabila terlampau memikirkan mengenai pasukan lawan sekali gus akan menjejaskan perancangan pasukan.

“Bagi saya yang penting adalah pasukan saya sendiri dan rakan-rakan bagaimana kita boleh fokus untuk 90 minit dalam permainan. Sebagai pemain kita buat kerja kita di padang, ikut segala taktikal permainan Insya-ALLAH tak timbul sebarang masalah bila menentang mereka,” katanya.

Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia akan berdepan Jordan (ke-93 dunia) di Stadium King Abdullah II di Amman pada 11 malam esok, dan Uzbekistan (ke-84 dunia) di Stadium Antarabangsa Amman, 9 Oktober.

Jordan berjaya meraih kemenangan 1-0 berdepan anak buah Cheng Hoe dalam pertembungan terakhir kedua-dua pasukan pada aksi persahabatan antarbangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ogos 2019.

Sementara itu, bagi Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tiada misi wajib menang diletakkan kepada pasukannya kali ini.

Cheng Hoe berkata, beliau enggan meletakkan sebarang tekanan kepada pasukannya untuk meraih keputusan tersebut, sebaliknya setiap pemain perlu fokus untuk memberikan aksi terbaik.

“Dari situ kita akan menilai setiap individu bagi membentuk satu pasukan yang kuat di masa hadapan,” katanya.

Bagaimanapun, Cheng Hoe mengakui jika pasukan kebangsaan meraih keputusan positif dalam kedua-dua aksi tersebut ia dapat memperbaiki kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Katanya, kedudukan dalam ranking FIFA yang baik akan memberikan kelebihan kepada pasukannya pada undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal diadakan nanti. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!