KPM tidak pernah salur peruntukan kepada sekolah persendirian

Radzi ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. Foto Bernama
Radzi ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah menyalurkan sebarang peruntukan kepada sekolah persendirian, kata Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil contoh seperti Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang bukan merupakan sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan.

“SMPC ini adalah sekolah persendirian dan Kementerian Pendidikan tidak pernah menyalurkan sebarang peruntukan kepada sekolah persendirian.

“Ruang lingkup kena faham kerana ramai yang menganggap semua sekolah di negara ini peruntukannya datang daripada Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) mengenai berapa jumlah peruntukan kepada sekolah tahfiz selepas Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon sebelum ini menyatakan sebanyak RM15 juta disalurkan kepada sekolah persendirian Cina.

Mohd Radzi dalam masa yang sama turut menjelaskan bahawa KPM bertanggungjawab sepenuhnya kepada sekolah-sekolah kerajaan.

“Yang kedua, untuk sekolah bantuan kerajaan, kita sediakan bantuan peruntukan bagi pembayaran untuk tujuan tertentu seperti emolumen dan elaun guru, pemberian geran perkapita, bantuan utiliti, bantuan keselamatan dan kebersihan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: