10 rumah penduduk berdepan risiko hakisan ban

Ahmad Adenan menunjukkan hakisan ban yang sangat hampir dengan kediaman penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau, di sini.
Ahmad Adenan menunjukkan hakisan ban yang sangat hampir dengan kediaman penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau, di sini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kira-kira 10 buah rumah di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau, di sini, berdepan risiko akibat hakisan ban yang berlaku di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, keadaan tersebut dilihat membimbangkan kerana hakisan tersebut semakin dekat dengan kediaman penduduk.

Menurutnya, jika keadaan itu dibiarkan berlarutan, ban sepanjang 150 meter itu akan menyebabkan rumah penduduk rosak sekali gus membahayakan mereka yang paling hampir dengan ban berkenaan.

"Masalah hakisan tanah di ban kampung itu memang telah sekian lama berlaku namun keadaannya kini membimbangkan apabila sudah hampir dengan perumahan penduduk. Difahamkan kesan hakisan yng berlaku semakin hampir iaitu sekitar 10 meter dari kediaman penduduk.

"Difahamkan punca kejadian hakisan ini berlaku disebabkan keadaan air muara sungai yang deras di sini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan ke rumah adik-beradik orang kurang upaya (OKU) yang kematian ibu di Kampung Perlis, Kuala Kurau, di sini, pada Selasa.

Menurutnya, masalah tersebut telah dipanjangkan kepada Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Perak serta Pejabat Daerah dan Tanah bagi mencari jalan penyelesaian.

Abdul Yunus yang juga Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak berkata, pihaknya berharap agensi berkaitan memikirkan tindakan sesuai bagi membaiki ban tersebut untuk menghalang hakisan dari terus berlaku.

Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Kuala Kurau, Ahmad Adenan Said yang meninjau keadaan itu berkata, masalah yang disuarakan Abdul Yunus sedang dalam tindakan untuk diselesaikan segera.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, satu lawatan kerja bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama Abdul Yunus akan dilakukan dalam masa terdekat di lokasi berkenaan untuk melihat keadaan hakisan tersebut.