PRK DUN Rantau 13 April depan

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun bersama Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Rantau N27, Mohd Nizam Tajul Arus menunjukkan peta kawasan pilihan raya untuk DUN berkenaan di Menara SPR, Putrajaya, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun bersama Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Rantau N27, Mohd Nizam Tajul Arus menunjukkan peta kawasan pilihan raya untuk DUN berkenaan di Menara SPR, Putrajaya, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) N27 DUN Rantau akan diadakan pada 13 April depan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata penamaan calon pula ditetapkan pada 30 Mac manakala tarikh mengundi awal pada 9 April.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 12 April.

“Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka dan tarikh tutup permohonan adalah pada 6 Mac dan 28 Mac ini,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Rayuan Tok Mat ditolak, PRK Rantau menyusul

Mengulas lanjut, Azhar berkata, SPR akan menggunakan Daftar Pemilih Induk Tahun 2018 yang dikemaskini sehingga 25 Februari 2019 membabitkan 20,926 yang terdiri daripada 20,804 orang pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat orang pengundi tidak hadir luar negara.

Beliau berkata, Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang akan dibantu empat Penolong Pegawai Pengurus, selain SPR bersetuju menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau perjalanan kempen PRK berkenaan.

Azhar (tengah) ketika mengumumkan tarikh PRK DUN Rantau, sebentar tadi.
Azhar (tengah) ketika mengumumkan tarikh PRK DUN Rantau, sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

"SPR akan menggunakan Dewan Serbaguna, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Bandar Sri Sendayan sebagai pusat penamaan calon pusat penjumlahan undi.

"Seramai 515 petugas dilantik bagi membantu proses pengendalian PRK DUN Rantau dan sebanyak 16 pusat mengundi yang mengandungi 55 saluran yang digunakan untuk kemudahan mengundi,” katanya.

Katanya, bagi menggalakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka, Azhar berkata, SPR akan melaksanakan kempen 'Jom Kita Undi' melalui pelbagai saluran media.

"SPR juga mensasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRK Dun Semenyih kali ini," katanya.

PRK DUN Rantau adalah PRK ke tujuh diadakan selepas PRU14.

Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lepas mengisytiharkan kemenangan calon BN yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada PRU14 bagi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.

Bulan lepas, Mahkamah Persekutuan pula menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban itu sekali gus membuka laluan untuk PRK diadakan di DUN Rantau.