Istana lama: MB Perak menghadap Raja Puan Besar Perak

Tapak Istana Raja Muda Perak di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan. Foto kecil: Saarani
Tapak Istana Raja Muda Perak di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan. Foto kecil: Saarani
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menghadap Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah pada Isnin berkaitan isu penjualan secara tender terbuka tapak Istana Raja Muda Perak.

Menurut Saarani, dalam pertemuan tersebut, baginda menzahirkan pandangan terhadap Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan itu.

Jelas beliau, hasrat baginda itu akan dibawa ke mesyuarat Exco untuk dibincangkan bersama.

"Semalam saya sudah mengadap Raja Puan Besar dan kita bincang berkaitan dengan perkara itu.

"Saya perlu bawa dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri untuk melihat bagaimana kita boleh merealisasikan hasrat baginda," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Izzuddin Shah di sini pada Selasa.

Pada 29 September lalu, Raja Nazhatul Shima berkenan melawat Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan.

Baginda ketika bertitah kepada Utusan Malaysia menzahirkan harapan agar bangunan bersejarah itu dikekalkan dan tidak dijual untuk projek komersial dan pembangunan bercampur.

Baginda pernah tinggal di istana itu antara tahun 1957 hingga 1963.

Artikel Berkaitan:

Saarani pada 19 September memaklumkan kerajaan negeri akan melihat semula isu berhubung jualan secara tender terbuka kawasan bangunan istana lama yang dikenali Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan.

Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berikutan keputusan itu dibuat tahun lalu.

Bagaimanapun pada 22 September, kerajaan negeri Perak bersetuju menangguhkan penjualan secara tender terbuka tanah Istana Raja Muda Perak itu.