Inisiatif SMART SBB bantu pesawah

Mesin Jentuai Mini merupakan salah satu jentera yang digunakan.
Mesin Jentuai Mini merupakan salah satu jentera yang digunakan.
A
A
A

SEKINCHAN - Projek tanaman padi wangi menerusi inisiatif Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) merupakan salah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Rata-rata pesawah ditemui mengakui banyak manfaat diperoleh pesawah bagi meningkatkan industri padi beras negara sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap beras wangi import.

Seorang pesawah yang ditemui, Mohd Tazilan Sabran, 49, menyifatkan kelebihan menyertai pertanian kontrak bersama FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF) mampu meningkatkan pendapatan dengan potongan pemutuan lebih rendah.

“Jika tanaman padi biasa, kadar pemutuan terlalu tinggi hingga melebihi 25 peratus berbanding pemutuan padi wangi iaitu hanya 17 peratus.

“Bagi saya, ini secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi pendapatan pesawah terutama apabila rata-rata dalam kalangan kami hanya bergantung kepada sektor ini sebagai punca rezeki,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Tazilan berkata, FGVIF turut menyediakan prosedur operasi standard (SOP) tanaman sebagai panduan, pemantauan dan pemeriksaan ladang secara berjadual.

“Selain itu, pihak FGV juga bertindak sebagai pembekal perkhidmatan dan teknologi pertanian seperti dron, tranplanter dan lain-lain,” katanya.

Roslan Aini, 48, pula menyifatkan padi wangi yang ditanam peserta pertanian kontrak di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor itu lebih berkesan dalam melawan serangan ulat batang.

Artikel Berkaitan:

Roslan, Mohd Hazlan
Roslan, Mohd Hazlan

Katanya, tanaman padi biasa yang diusahakan di kawasan itu majoritinya mengalami masalah ulat batang.

“Bagaimanapun, kawasan tanaman padi wangi di IADA Barat Laut Selangor kurang tidak terjejas dan ini menunjukkan padi wangi MRQ76 lebih tahan daripada serangan penyakit,” katanya yang mengusahakan tanaman itu di kawasan seluas 10 hektar.

Menurutnya, penggunaan teknologi Internet Kebendaan (IoT) dan sistem Fortified Field Fragrant Rice (3FR) yang diperkenalkan FGV sangat penting untuk mengaplikasikan kaedah pertanian tepat bagi meningkatkan hasil padi dan tahap SSL negara.

“Kita harap kerjasama dengan FGVIF dapat diteruskan pada masa akan datang dan produk beras wangi ini menjadi pilihan rakyat di negara ini.

“Saya sangat mengesyorkan kepada pesawah lain untuk sertai program Smart SBB pada musim akan datang kerana banyak faedah dan kelebihan yang kita dapat.

“Pertanian padi ini merupakan tanaman yang perlu diusahakan secara bersepadu dan Smart SBB merupakan platform yang terbaik,” katanya.

Beri manfaat

Sementara itu, Ketua Padi dan Beras FGVIF, Azman Md Azhar berkata, insiatif itu diharap dapat menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan melalui satu pengurusan.

“Kaedah ini sekali gus dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil lepas tuaian,” katanya yang ditemui di Pusat Belian Padi Kampung Sungai Burong.

Azman menjelaskan, Smart SBB turut dijangka akan membantu negara mencapai Tahap Sara Diri (SSL) beras yang telah ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu sebanyak 75 peratus.

Sehingga kini, MAFI telah melantik sebanyak 11 syarikat swasta sebagai syarikat peneraju Smart SBB untuk membangunkan kawasan penanaman padi.

“Sasaran keluasan adalah 150,000 hektar semusim bagi fasa pertama dan ia adalah secara berperingkat,” katanya.

Selain itu, katanya, MAFI turut menyarankan swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) terlibat sama dalam memajukan industri beras negara.

“Program Smart SBB dengan kerjasama semua agensi dan pesawah secara tidak langsung akan memberi manfaat untuk jangka masa panjang,” ujarnya.

Kata beliau, penglibatan FGV bertujuan meningkatkan hasil dan produktiviti padi beras negara, selain menjadikan industri tanaman padi lebih lestari.

Penggunaan dron dalam pembajaan dan aktiviti meracun.
Penggunaan dron dalam pembajaan dan aktiviti meracun.

“Harapan FGV dalam Smart SBB ini kita dapat memajukan industri ini bersama pesawah terlibat dan menyahut aktiviti ini lebih positif seterusnya menjana satu rantaian industri beras negara,” katanya.

Menurut Azman, FGV Holdings Bhd (FGV) menerusi anak syarikatnya, FGVIF merupakan salah satu daripada syarikat peneraju yang telah dilantik oleh MAFI untuk menerajui industri penanaman padi wangi di Malaysia.

FGVIF merancang memperluaskan lagi penanaman padi wangi seluas 600 hektar di Melaka dan Rompin, Pahang.

Katanya, sebanyak 300 hektar masing-masing dirancang ditanam di dua kawasan terbabit menerusi inisiatif SMART SBB.

Pada ketika ini, kira-kira 500 hektar padi wangi ditanam di IADA Barat Laut Selangor, manakala 100 hektar lagi di Seberang Perak, Perak.

“Kita sasarkan sebanyak 1,500 hektar padi akan ditanam menerusi program SMART SBB di empat kawasan iaitu di IADA Barat Laut Selangor, Seberang Perak, Melaka dan Pahang.

“Dalam tempoh empat tahun lagi, kita menyasarkan sebanyak 10,000 hektar padi dapat ditanam di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan seramai 260 pesawah terlibat dalam penanaman padi wangi di IADA Barat Laut Selangor dan Seberang Perak.

Sebanyak 1,100 tan metrik berjaya diperoleh pada musim pertama tanaman pada Februari tahun lalu.

Jelasnya, penanaman padi wangi MRQ76 keluaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) itu juga mampu meningkatkan pendapatan golongan pesawah berikutan harganya yang lebih mahal daripada padi biasa.

“Tanaman padi wangi ini memberi pulangan tinggi iaitu RM1,540 per tan metrik dan tambahan RM360 subsidi berbanding padi biasa yang dijual RM1,200 tan metrik,” katanya.

Menurut Azman, purata hasil padi wangi bagi musim penanaman yang lalu mendapat 5.30 tan metrik sehektar bagi tanaman padi wangi di IADA Barat Laut Selangor. Beliau mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang memperkenalkan program ini.

“Bagi tujuan tersebut, peningkatan SSL beras negara ini menyasarkan peningkatan purata hasil sehektar nasional daripada purata hasil semasa sebanyak 3.5 tan metrik pada tahun 2019 kepada 7 tan metrik dalam tempoh RMK12,” katanya.

INFO

Program SMART SBB

• Salah satu inisiatif kerajaan untuk menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak.

• Kerjasama dengan semua agensi & pesawah beri manfaat untuk jangka masa panjang.

• Memajukan industri dan menjana satu rantaian industri beras negara.