Kadar vaksinasi remaja perlu ditingkatkan

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya menyasarkan kira-kira 200,000 pelancong domestik berkunjung ke Langkawi dari 16 September hingga Disember 2021 selepas industri pelancongan pulau itu dibuka semula di bawah projek rintis gelembung pelancongan.

Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk mempergiatkan semula industri pelancongan setelah terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Susulan sambutan menggalakkan diterima di Langkawi, tiga lagi lokasi baharu iaitu Melaka, Pulau Tioman dan Genting Highlands menjadi destinasi seterusnya untuk pelaksanaan gelembung pelancongan negara.

Pembukaan sektor pelancongan projek rintis Pulau Langkawi dan destinasi-destinasi pelancongan tempatan selepas ini tentunya menggembirakan penggiat sektor industri berikutan penutupan hotel dan restoran lebih setahun yang lalu.

Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu optimis kerana Covid-19 masih gagal dibendung sepenuhnya, apatah lagi majoriti golongan remaja berusia bawah 18 tahun masih belum divaksinasi.

Kita rasa khuatir dengan kebanjiran pelancong di destinasi-destinasi pelancongan berkenaan termasuk golongan remaja dan kanak-kanak yang dibawa oleh ibu bapa masing-masing.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini telah menyasarkan 60 peratus remaja berusia 12 hingga 18 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November ini, manakala 80 peratus disasarkan untuk mendapat dos lengkap vaksin menjelang Januari 2022.

Usaha membendung Covid-19 dalam kalangan remaja dan kanak-kanak mesti diberi keutamaan sekiranya kita ingin melihat aktiviti ekonomi termasuk sektor pelancongan kembali ‘hidup’.

Artikel Berkaitan:

Untuk itu, kerajaan perlu memastikan tidak berlakunya masalah kekurangan bekalan vaksin, selain memudahkan golongan remaja mendapatkan vaksinasi secara walk-in di 156 Pusat Pemberian Vaksin di seluruh negara.

Kerjasama ibu bapa turut memainkan peranan penting dengan memberi dorongan kepada anak-anak mereka mendapatkan vaksinasi.

Matlamat kerajaan untuk membolehkan golongan bawah 18 tahun mendapat dos lengkap vaksin pastinya akan berjaya sekiranya tahap kesedaran kepentingan vaksinasi dalam kalangan remaja ditingkatkan.