MRT laluan Putrajaya Fasa Dua dijangka beroperasi Januari 2023

Ka Siong hadir pada lawatan kerjanya di terowong persilangan MRT Hospital Kuala Lumpur (HKLX) yang dijangka akan siap pada awal tahun 2022. - Foto Bernama
Ka Siong hadir pada lawatan kerjanya di terowong persilangan MRT Hospital Kuala Lumpur (HKLX) yang dijangka akan siap pada awal tahun 2022. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya Fasa Dua kini siap 93.52 peratus dan dijangka beroperasi pada Januari 2023 seperti yang dijadualkan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, infrastruktur utama seperti terowong, stesen dan struktur lain telah siap dibina dan baki kerja yang perlu disiapkan, antaranya merangkumi perkhidmatan bangunan, kemasan seni bina dan landskap.

"Saya amat berbesar hati melihat tahap kemajuan ini, dan saya yakin Fasa Dua Laluan Putrajaya ini dapat mula beroperasi seperti yang disasarkan pada Januari 2023.

Pembinaan Laluan MRT Putrajaya ini tepat pada masanya kerana ia menjadi pemangkin penting dalam pemulihan ekonomi negara dengan membolehkan ramai pekerja dapat kembali bekerja dan kembali menjalani kehidupan normal, " katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak persilangan MRT Hospital Kuala Lumpur di sini pada Isnin yang turut disertai Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sementara itu, Ka Siong berkata, bagi pembinaan MRT laluan Putrajaya Fasa Satu pula, 99.9 peratus telah siap dan dijangka dilancarkan pada hujung bulan depan.

MRT Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) meliputi jajaran sepanjang 56.2 kilometer dan mempunyai 36 stesen, untuk kedua-dua fasa, bermula dari stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya.

Ka Siong dalam ucapannya sebelum itu berkata, kementeriannya telah bekerja keras untuk membuka kembali sektor-sektor industri pengangkutan lain, antaranya pelabuhan, logistik dan pengangkutan udara, untuk mendukung usaha kerajaan ke arah pemulihan negara.

“Namun ia harus dilaksanakan dengan sangat berhati-hati untuk memastikan keselamatan orang ramai. Sehubungan itu kementerian saya akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan langkah berjaga-jaga perlu dilaksanakan dengan tegas oleh semua pihak dalam industri pengangkutan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: