Tiba masa gabung semua entiti perumahan: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika hadir pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid ketika hadir pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sudah tiba masanya untuk kerajaan menggabungkan semua entiti perumahan yang ada dalam negara di bawah satu bumbung dalam usaha menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid (UMNO-Bagan Datuk) berkata, pelbagai entiti yang wujud pada masa ini hanya menyukarkan permohonan antaranya disebabkan kerenah birokrasi.

“Cukuplah kita berada dalam keadan statik dan jumud, mahu bantu rakyat tetapi akhirnya sukarkan, saya mahu kerajaan melalui RMK12 (Rancangan Malaysia ke-12), cantumkan apa sahaja entiti perumahan untuk rakyat sama ada bawah kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

“Malaysia secara relatifnya negara yang kecil, tidak ada sebab harus bersaing, tambah pula dana dari sumber sama. Yang penting rakyat harus diberikan rumah, mesti ada satu skema, rakyat harus ada tempat berteduh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan RMK-12 di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Ahmad Zahid turut menggesa supaya rumah yang selesa untuk pegawai Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia perlu diberi perhatian di bawah RMK12 terutama untuk mereka yang berkhidmat di bandar mahupun pinggir bandar.

Selain itu, beliau turut mahu kerajaan menambah baik sistem pengangkutan awam negara dengan mencadangkan penggunaan hanya satu kad akses untuk semua jenis pengangkutan awam yang ada.

“Game changer (pengubah keadaan) seperti ini perlu dilihat untuk tempoh lima tahun akan datang bagi memperlihatkan perubahan drastik namun ia tidak membebankan rakyat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: