Wajibkan guru, penjaga anak autisme jalani latihan khusus

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menyedia dan mewajibkan latihan khusus berkaitan penjagaan anak-anak autisme kepada guru atau penjaga pusat penjagaan kanak-kanak kurang upaya (OKU).

Ia susulan kes seorang kanak-kanak lelaki autisme disyaki didera pengasuh di sebuah pusat jagaan di Ampang.

Ahli Dewan Negara mewakili OKU, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, sehingga kini tiada kursus yang diwajibkan untuk pusat autisme.

“Harap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat menyediakan dan mewajibkan latihan khusus untuk mereka mengikuti kursus asas permata di genius kurnia.

“Pada saya inilah masalah untuk kita pastikan petugas mempunyai keupayaan menjaga anak-anak autisme.

“Seterusnya saya ingin sarankan untuk sediakan latihan tahap tinggi untuk penjagaan anak autism iaitu Board Certified Behavior Analyst yang dikelolakan oleh badan profesional Amerika Syarikat.

“Kerajaan mesti wajibkan petugas-petugas mengambil Kursus Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Autisme) iaitu Sijil Kemahiran Malaysia Tiga (SKM 3) agar dapat menyokong anak-anak istimewa ini,”katanya pada Sidang Media di Bilik Media Bangunan Parlimen, pada Isnin.

Jumaat lalu, seorang kanak-kanak lelaki disyaki didera oleh pengasuh di sebuah pusat jagaan di Ampang.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu terbongkar apabila bapa kepada kanak-kanak itu memeriksa rakaman litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan selepas menemui kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri dan di kedua-dua belah mata anaknya.

Pengasuh wanita tersebut ditahan polis pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ras Adiba menyifatkan insiden itu sebagai amat menyedihkan dan berharap pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pusat-pusat jagaan diperketatkan.

Beliau turut meminta mana-mana guru atau penjaga kanak-kanak OKU yang tidak mempunyai tahap kesabaran yang tinggi berundur dan memberi peluang kepada guru lain.

“Saya ingin beritahu mereka di luar sana, kalau tidak ada kesabaran, tidak ada rasa simpati, jangan jadi cikgu yang menjaga anak-anak istimewa kerana mereka memerlukan sokongan kita.

“Sekiranya kita tak berikan mereka sokongan dan kasih sayang, keberadaan kita tidak memberi kerana bukan mudah untuk menjaga anak-anak ini kerana mereka mempunyai keperluan berbeza,” katanya.