'Anak sangat teruja kembali ke sekolah'

Mohd Nasir menghantar anak bongsunya, Nurin ke SK Pendidikan Khas Selangor pada Isnin.
Mohd Nasir menghantar anak bongsunya, Nurin ke SK Pendidikan Khas Selangor pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - "Anak sangat teruja hari ini (Isnin) selepas lama tidak ke sekolah, dia lebih teruja apabila kakaknya sudah masuk ke asrama semalam (Ahad)", jelas bapa kepada dua murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Selangor (Masalah Pendengaran), Mohd Nasir Harun, 43.

Mohd Nasir berkata, dua anaknya, Nurin Marisa, 12, Nurin Sofea, 7, memang sudah tidak sabar lagi untuk ke sekolah dan bertemu rakan-rakannya sehingga setiap hari asyik bertanya-tanya bila sekolah akan dibuka semula.

"Mereka memang rasa seronok dan teruja, anak kedua saya sudah masuk ke asrama pada Ahad dan hari ini hanya hantar anak bongsu saya ke sini," katanya ketika ditemui selepas menghantar anaknya di sekolah berkenaan, pada Isnin.

Bapa kepada dua murid istimewa yang hanya bekerja sendiri itu berkata, dia bersyukur dua anaknya itu akhirnya dapat ke sekolah selepas sekian lama belajar secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Saya memang selalu memantau anak saya untuk belajar secara dalam talian sebelum ini, tetapi bagi saya jika mereka dapat datang sekolah semula keadaan mereka akan menjadi lebih baik lagi," katanya turut yakin dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak sekolah.

Seorang lagi penjaga, Abdullah Mohamad, 46, juga mengakui anak perempuannya, Aisyah, 7, sangat teruja dan sudah lama menunggu peluang untuk masuk semula ke sekolah dan bertemu serta belajar bersama rakan-rakannya.

Abdullah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan bapa kepada tiga anak itu berkata, anak keduanya itu dibangunkan seawalnya jam 6.30 pagi untuk bersiap-siap pada hari pertama bersekolah pada Isnin.

"Memang ada belajar secara dalam talian tetapi angah (Aisyah) memberitahu dia memang lebih suka ke sekolah, jadi dia memang sudah lama menunggu saat-saat untuk masuk ke sekolah," katanya yang menetap di Seksyen 15 di sini.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian pada hari pembukaan semula sekolah untuk SK Pendidikan Khas Selangor (Masalah Pendengaran) mendapati ibu bapa menghantar anak masuk ke kawasan sekolah dan bukan seperti kebiasaan hanya di luar pagar sekolah.