X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

Korea Utara tunjuk hebat uji senjata hipersonik

A
A

AGENSI Berita Rasmi Korea Utara (KCNA) melaporkan bahawa Pyongyang berjaya melakukan ujian pelancaran peluru berpandu hipersonik dikenali sebagai Hwasong-8 yang kali ini dianggap senjata terbaharu yang berteknologi canggih dan didakwa mampu meningkatkan kemampuan pertahanan daripada ancaman musuhnya.

Tidak seperti peluru berpandu biasa, peluru hipersonik dilaporkan mempunyai kelajuan lima kali ganda dari bunyi atau lebih 6,100 kilometer sejam dan sukar dipintas mana-mana sistem peluru berpandu sedia ada.

Malah, peluru terbabit dikatakan mampu terbang pada kedudukan pertengahan dan sekali gus menyukarkan ia dikesan pihak musuh.

Jadi, ujian terbaharu ini memberi makna bahawa Korea Utara sentiasa menaik taraf senjata mereka setanding negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China.

Tambahan pula, ia berlaku di tengah-tengah kebuntuan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan lebih keras ke atas Pyongyang sehinggakan pemimpinnya Kim Jong-un seperti 'mengesyorkan' lebih banyak peluru berpandu berteknologi tinggi dihasilkan selepas ini.

Malah, Duta Besar Pyongyang ke PBB, Kim Song menegaskan, negara itu mempunyai hak yang tidak dapat disangkal untuk menguji senjatanya.

Song ketika berucap semasa Perhimpunan Agung PBB di New York menjelaskan, ‘tiada sesiapa yang boleh menafikan hak Korea Utara untuk mempertahankan diri’.

Peluru berpandu Hwasong-8 dilancarkan di Wilayah Jagang pada Selasa lalu tanpa dihadiri Kim dikatakan mampu membawa peledak nuklear. Namun, butiran terperinci mengenainya tidak didedahkan kepada umum.

Bahkan, pegawai tentera Korea Selatan menyifatkan senjata itu sebagai peluru berpandu generasi seterusnya untuk memusnahkan sasaran musuh dalam waktu singkat.

Walaupun begitu, dakwaan terbabit ditepis tentera AS dan menyatakan pelancaran peluru berkenaan tidak menimbulkan ancaman kepada AS atau sekutunya.

Pakar di Universiti Angkasa Lepas Korea Selatan, Chang Young-keun mendedahkan peluru berpandu hipersonik Korea Utara tidak sepantas seperti didakwa negara itu dan hanya memiliki kelajuan sekitar 2.5 Mach.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Jepun mendedahkan kepada media tempatan bahawa pelancaran itu seperti ‘peluru berpandu balistik’ dan bukannya peluru berpandu hipersonik.

Bagi menenangkan keadaan tersebut, tentera AS dalam satu kenyataan menyatakan mereka menyedari pelancaran peluru berpandu itu, namun merasakan ia tidak menimbulkan ancaman kerana mereka mempunyai senjata lebih canggih berbanding Korea Utara.

Sebenarnya, selain AS dan China, Rusia mempunyai senjata sama yang dikenali sebagai Tsirkon (Zircon), senjata disebut Presiden Vladmir Putin sebagai peluru berpandu 'yang tidak dapat ditandingi' negara lain di dunia.

Selain itu, AS turut membangunkan program senjata hipersonik sejak beberapa tahun lalu, antaranya menerusi firma Lockheed Martin melibatkan kontrak kira-kira AS$1.4 bilion (RM5.86 bilion).

Selain itu, China turut mengaku berjaya membangunkan sistem persenjataan hipersoniknya dikenali sebagai DF-17 yang turut mencetuskan kebimbangan Washington walaupun keupayaan sebenarnya masih diragui.

Sama seperti Rusia dan China, Korea Utara berasakan mereka perlu untuk memiliki sistem pertahanan termaju bagi menangkis sekiranya berlaku serangan peluru berpandu dari AS.

Kesimpulannya, Korea Utara berasa tercabar dengan keupayaan terkini China, AS, Rusia dan Korea Selatan sehingga perlu menggandakan keupayaan pertahanan negara terbabit.

Ia meliputi kemampuan untuk menangkis serangan di angkasa lepas sekiranya peperangan berlaku pada masa akan datang termasuklah peluru berpandu hipersonik yang merupakan senjata termaju ketika ini.

Persoalannya, adakah Korea Utara sengaja menggembar-gemburkan keupayaan senjata canggihnya supaya negara lain mengagumi teknologi persenjataan mereka ataupun mereka sebenarnya 'tiada apa-apa'.

* Zulhilmi Hat ialah Wartawan Meja Global, Sinar Harian


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!