Arena sukan negara berduka

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

PEMERGIAN bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong, disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada negara, khususnya buat komuniti sukan.

Menurut Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Allahyarham ternyata seorang pemimpin yang baik berdasarkan kepada sikap profesionalisme tinggi dalam memastikan kesemua program dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Allahyarham cukup dikenali ramai kerana kerana Allahyarham juga merupakan personaliti yang mempunyai nama besar dalam arena sukan negara.

“Allahyarham juga merupakan seorang teknokrat atau seorang pegawai kerajaan atau pun pentadbir yang telah banyak memberikan sumbangan kepada pembangunan persatuan-persatuan sukan di seluruh negara ketika memimpin MSN dahulu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Zolkples, 62 tahun yang tinggal bersendirian ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah di sini, pagi Ahad, namun polis mengesahkan tiada unsur jenayah melibatkan kematiannya.

Beliau yang mula menjawat jawatan Ketua Pengarah MSN sejak 2007 hingga 2014, pernah menjadi Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Asia 2010 dan Sukan Paralimpik London 2012.

Mengimbas mengenai kenangannya bersama Allahyarham, Mohamad Norza berkata, antara kenangan yang tidak dapat dilupakannya adalah pada ketika Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017.

Katanya, Allahyarham yang ketika itu menjalankan tanggungjawab selaku Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC).

Artikel Berkaitan:

“Tentu sahaja antara kenangan yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika bekerjasama dengan Allahyarham ketika Sukan SEA 2017. Selaku CEO MASOC, ketika itu, Allahyarham memainkan peranan sangat penting.

“Allahyarham juga merupakan individu yang sangat prihatin dengan perkembangan pemain-pemain badminton negara dan kami sentiasa berhubung, malah Allahyarham juga sering membantu dalam membuat keputusan bagi pihak kita,” katanya.