Tindakan Martinelli tolak Bradley dikecam

Insiden membabitkan Martinelli dan Bradley pada penghujung perlawanan.
Insiden membabitkan Martinelli dan Bradley pada penghujung perlawanan.
A
A
A

PENYERANG Arsenal, Gabriel Martinelli dikecam hebat dan disifatkan sebagai 'memalukan' selepas tindakannya cuba menolak pemain Liverpool, Conor Bradley yang sedang mengalami kecederaan keluar dari padang pada penghujung aksi seri 0-0 pada Jumaat.

Dalam kejadian pada masa kecederaan itu, Bradley dilihat terjatuh dalam keadaan janggal berhampiran garisan tepi padang.

Martinelli yang menyangka pemain pertahanan Ireland Utara itu hanya cuba membuang masa, bertindak membaling bola ke arah Bradley sebelum mengasarinya secara fizikal untuk memaksa pemain itu bangun.

Tindakan tersebut mencetuskan kemarahan pemain Liverpool sehingga berlaku pertikaman lidah dan tolak-menolak yang menyaksikan Martinelli serta Ibrahima Konate dilayangkan kad kuning. Bradley akhirnya terpaksa diusung keluar akibat kecederaan yang dialaminya.

Pengulas sukan Sky Sports, Gary Neville berang dengan tindakan pemain Brazil itu.

"Anda tidak boleh berbuat demikian. Ia sangat teruk. Saya rasa permohonan maaf perlu dibuat.

"Bradley sedang diusung keluar. Sejujurnya saya sangat marah dengan Martinelli. Memalukan. Saya terkejut tiada pemain Liverpool yang datang dan memukul Martinelli di situ," tegas bekas pertahanan Manchester United itu.

Nada sama turut disuarakan rakan setugasnya, Roy Keane yang mengkritik sikap Martinelli.

"Saya tidak sukakannya. Ia pernah berlaku kepada saya apabila saya cedera teruk dan pemain lawan berdiri di atas saya, ia bukan sesuatu yang baik.

Artikel Berkaitan:

"Saya terkejut pemain Liverpool tidak bertindak balas lebih agresif terhadap Martinelli. Kelakuan itu benar-benar memalukan. Tindakan yang tidak elok," ujar Keane.

Sementara itu, Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui bimbang dengan keadaan Bradley namun enggan terlalu menyalahkan Martinelli.

"Saya 100 peratus yakin jika dia (Martinelli) tahu tentang kecederaan itu, dia tidak akan berbuat demikian.

"Tetapi ia tidak kelihatan elok jika Bradley mengalami kecederaan serius seperti yang kami jangkakan. Anda tentu tidak suka melihat pemain dialihkan sebegitu jika dia mungkin mengalami kecederaan," katanya.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta pula tampil mempertahankan pemainnya dengan menegaskan Martinelli tidak akan bertindak sedemikian jika menyedari lawannya itu benar-benar cedera.

"Mungkin dia tidak tahu kerana mengenali Gabi (Martinelli), dia tiada niat jahat.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada Conor, harap ia tidak serius, tetapi jelas tiada niat daripada Gabi untuk melakukan sesuatu yang buruk kepadanya," jelas pengendali dari Sepanyol itu.

Ringkasan AI

  • Gabriel Martinelli dikritik hebat kerana cuba menolok pemain Liverpool Conor Bradley yang cedera keluar dari padang
  • Martinelli menyangka Bradley membuang masa sehingga bertindak membaling bola dan mengasarinya secara fizikal
  • Kejadian itu mencetuskan kemarahan pemain Liverpool dan kedua-dua Martinelli serta Ibrahima Konate menerima kad kuning
  • Pengulas sukan Gary Neville dan Roy Keane sama-sama berang dengan tindakan Martinelli yang disifatkan memalukan
  • Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mempertahankan Martinelli dengan menyatakan tiada niat jahat jika mengetahui kecederaan Bradley sebenar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!