Kemudahan mesin ATM beras di Masjid Pekan Ajil

Rosol mencuba mesin ATM beras ketika Majlis Pelancaran di masjid Pekan Ajil, Hulu Terengganu pada Ahad
Rosol mencuba mesin ATM beras ketika Majlis Pelancaran di masjid Pekan Ajil, Hulu Terengganu pada Ahad
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyediakan kemudahan mesin automatik mudah alih (ATM) beras di Masjid Pekan Ajil, dalam usaha meringankan beban golongan tidak berkemampuan di daerah ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, inisiatif peduli rakyat itu antara kesinambungan bantuan makanan asas menerusi program Gerobok Prihatin di 93 buah masjid yang dilaksanakan Pejabat Parlimen Hulu Terengganu sejak Mei lalu.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu juga berkata, sebanyak satu tan beras diperuntukkan setiap bulan untuk penduduk yang memerlukan.

“Walaupun negara dalam fasa pemulihan daripada cabaran pandemik Covid-19, masih ramai yang terkesan dengan krisis ekonomi.

Ramai yang hilang pendapatan dan pekerjaan.

“Inovasi Mesin ATM Beras diharap dapat memastikan makanan tersedia untuk mereka.

“Sesiapa sahaja yang memerlukan boleh datang pada bila-bila masa dan mengikut arahan yang dipaparkan untuk mendapatkan bekalan sehingga lima kilogram beras bagi setiap pengeluaran,” katanya selepas melancarkan Mesin ATM Beras di Masjid Pekan Ajil, Hulu Terengganu, di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Legasi Z, Zuwairi Japri Al-Manjie.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, program tersebut akan cuba diperluaskan ke lokasi lain di Hulu Terengganu bagi mewujudkan budaya memberi dan menyumbang.

“Program Gerobok Prihatin yang dilancarkan sebelum ini berjaya mencapai matlamat dan kita harap Mesin Beras ATM juga mendapat sokongan daripada pihak lain untuk menyalurkan sumbangan,” katanya.

Program Mesin ATM Beras merupakan kerjasama Sekretariat Food Bank KPDNHEP dengan rakan strategik utamanya iaitu Kumpulan Legasi Z dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA ).

Mesin ATM beras berkenaan akan diselia oleh pihak pengurusan kariah masjid dan mempunyai dua fungsi iaitu mengeluarkan beras mengikut kuantiti yang ditetapkan selain mempunyai tabung khas untuk orang ramai menderma bagi mengisi bekalan beras dalam mesin.