X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Arena sukan negara berduka pemergian Zolkples

Zolkples, 62, meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah di sini, pagi tadi.
A
A

PEMERGIAN bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang ditemukan meninggal dunia pagi Sabtu, satu kehilangan besar kepada sukan negara dan memberi kesan mendalam kepada setiap individu yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham mengakui, beliau banyak belajar mengenai dunia sukan daripada Zolkples.

“Saya kehilangan seorang kawan dan seorang guru yang banyak mengajar saya tentang dunia sukan. Banyak jasanya kepada pembangunan sukan negara termasuk pembangunan sukan berbasikal, yang melahirkan ramai jaguh dunia,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya.

Pada masa sama, seorang lagi bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam ciapan di Twitternya berkata, arwah bukan sahaja banyak menabur bakti dalam pembangunan sukan tempatan, malah di peringkat serantau.

Khairy berkata, dirinya turut berpeluang menimba ilmu dan bekerjasama dengan Allahyarham ketika Zolkples menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Sukan SEA 2017, di mana Malaysia menjadi tuan rumah temasya berkenaan.

Zolkples, 62, yang tinggal bersendirian ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah di sini, pagi tadi, namun polis mengesahkan tiada unsur jenayah melibatkan kematiannya.

Beliau yang mula menjawat jawatan Ketua Pengarah MSN sejak 2007 hingga 2014, pernah menjadi Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2010 dan Sukan Paralimpik London 2012.

Pada masa sama, Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab yang dihubungi Bernama berkata Zolkples memiliki perwatakan tegas sepanjang memegang tampuk kepimpinan MSN.

Beliau berkata, Zolkples juga merupakan watak penting dalam usaha mengembangkan bakat jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang pada satu masa dahulu.

“Arwah memang tegas namun boleh diajak berbincang dan sedia membantu persatuan sukan sekiranya mereka berdepan masalah. Allahyarham juga memainkan peranan besar dalam menaikkan nama Azizulhasni di peringkat antarabangsa dan sukan berbasikal trek negara amnya,” kata beliau.

Sementara itu, Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) dalam kenyataan pada Ahad menyifatkan pemergian Zolkples yang juga Naib Presiden persatuan itu sebagai kehilangan besar, dalam pembangunan sukan sepak takraw di Kelantan.

“Kita kehilangan permata arena sukan tanah air. Allahyarham adalah seorang tokoh dunia sukan yang hebat. Sumbangan beliau kepada pembangunan sukan negara tiada tolok bandingnya. Sesungguhnya banyak jasa beliau dalam arena sukan negara dan Gastak sendiri,” katanya.

Zolkples bukan sahaja popular dalam kalangan pihak berkepentingan sukan negara, malah kebijaksanaan serta kepetahan berkata-kata menjadikan Allahyarham antara penganalisis sukan terkenal tanah air, yang sering menjadi tumpuan media.

Bekas Ketua Meja Sukan Bernama, Farhanah Azmi berkata, meskipun memiliki perwatakan tegas, namun arwah senang didekati dan dihubungi pihak media.

“Sepanjang pengetahuan saya semasa bertugas di Meja Sukan, banyak isu-isu penting dapat ditangani arwah. Allahyarham paling tidak suka ada atlet negara terlibat dengan isu doping.

"Saya lebih banyak mengenali Allahyarham semasa beliau menjadi Ketua Kontinjen negara ke Sukan Paralimpik 2012 di London, di mana Allahyarham boleh dikatakan setiap hari bertanya khabar setiap atlet dan sentiasa menasihati atlet untuk kekal fokus,” kata Farhanah.

Dalam pada itu, bekas wartawan sukan Bernama, Zuriati Zulmi menyifatkan Zolkples seorang yang lantang bersuara dan sering mengeluarkan pendapat bernas demi kemajuan sukan negara, selain berpendirian teguh dalam perkara berkaitan sukan.

“Memang kehilangan yang akan sangat dirasai. Secara peribadi memang menunggu komen Allahyarham mengenai kejayaan skuad muda badminton negara yang berjaya ke separuh akhir Piala Sudirman 2021,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!