PRU15: PKR Johor sedia tanding 28 kerusi DUN

Syed Ibrahim melepaskan konvoi Program Jelajah Peduli di Ibu Pejabat PKR Johor di Pusat Perdagangan Danga Utama, Johor Bahru pada Ahad.
Syed Ibrahim melepaskan konvoi Program Jelajah Peduli di Ibu Pejabat PKR Johor di Pusat Perdagangan Danga Utama, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor sedia bertanding di 28 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kawasan DUN yang berpotensi untuk parti itu meletakkan calon dan menang antaranya DUN Kempas, Larkin dan Permas Jaya.

"Ini kerana kerusi ini bersifat campuran berdasarkan pola penduduk berbilang kaum.

Begitu juga kerusi DUN lain yang sedang kita rancang untuk bertanding dalam PRU15 di Johor.

"(Namun) soal pengagihan kerusi ini masih terbuka, belum peringkat putuskan mana-mana parti, tetapi kita lihat PKR ada potensi dan kelebihan sebagai parti pelbagai kaum," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Jelajah Peduli di Pusat Perdagangan Danga Utama di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi PKR Johor yang juga ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse.

Syed Ibrahim berkata, pihaknya akan berunding dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) di negeri ini terlebih dahulu melibatkan pembahagian kerusi dan sasaran PKR itu selepas melihat kemampuan untuk menang di kerusi yang akan ditandingi.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya dari segi kemenangan ini perlu dilihat secara menyeluruh, jika kerusi itu tradisinya adalah kerusi campuran ia perlu diberi kepada parti yang boleh mewakili pelbagai kaum, potensi untuk menang lebih besar.

"Dalam situasi pertandingan tiga atau empat penjuru, situasi berkenaan merupakan peluang terbaik untuk PKR terutamanya," katanya.

Ahli Parlimen Ledang itu berkata, PKR Johor sudah menggerakkan jentera sebagai persediaan menghadapi PRU15 sejak dua tahun lalu.

"Walaupun dalam suasana pandemik Covid-19 dan dalam keadaan PH telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama-sama kerajaan, persediaan tetap perlu dilakukan.

"Ini kerana kita tidak dapat menjangkakan bilakah PRU15 itu akan diadakan, buat masa ini boleh dikatakan jentera PKR Johor telah 80 peratus bersedia untuk menghadapi PRU15," ujarnya.

Mengenai penggunaan logo yang akan digunakan PH pada PRU15 di Johor, Syed Ibrahim berkata, pihaknya bersedia mengikut ketetapan dibuat Majlis Presiden PH.

"Buat masa ini, masih belum ada ketetapan yang dibuat daripada sudut PKR pastinya kami mahu mengekalkan penggunaan logo PKR seperti yang digunakan dalam PRU lalu, namun kami akan akur dengan keputusan, tiada masalah.

"Saya tidak melihat isu ini sebagai satu isu besar, saya juga tidak rasa ianya satu perkara yang boleh menyebabkan kita berbalah," katanya.