Orang ramai tidak sabar pulang ke kampung

Rata-rata netizen turut menaruh harapan agar keputusan kerajaan untuk membenarkan individu merentas negeri menjadi kenyataan. Gambar hiasan
Rata-rata netizen turut menaruh harapan agar keputusan kerajaan untuk membenarkan individu merentas negeri menjadi kenyataan. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Perasaan teruja untuk pulang ke kampung kini semakin dirasai oleh rakyat Malaysia berikutan kerajaan mengumumkan kadar vaksinasi bagi populasi dewasa di negara kini semakin menghampiri 90 peratus.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam ciapan di Twitter rasminya pada Sabtu memberitahu, sehingga Jumaat kadar populasi dewasa yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 kini mencapai 86 peratus.

Ini bermakna hanya tinggal kira-kira empat peratus lagi bagi menarik semula larangan rentas negeri, malah berkemungkinan negara merekodkan angka 90 peratus lebih kurang beberapa hari lagi.

Susulan berita gembira itu, rata-rata netizen turut menaruh harapan agar keputusan kerajaan untuk membenarkan individu merentas negeri menjadi kenyataan, bukan sekadar ‘scam’ semata-mata.

Berdasarkan tinjauan di media sosial, ada antara mereka menanti dengan penuh sabar bagi kebenaran merentas negeri selepas sekian lama tidak pulang ke kampung untuk bertemu keluarga masing-masing, lebih-lebih lagi individu bujang yang bekerja di ibu kota.

Ada juga yang mengakui cuma panggilan video sahaja yang mengubat rindu mereka setelah hampir dua tahun tidak pulang ke kampung sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memberi bayangan bahawa kebenaran untuk merentas negeri akan dilaksanakan apabila 90 peratus daripada populasi dewasa di negara telah menerima vaksinasi lengkap, berdasarkan kepada data dan analisis Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perkara berkenaan diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Ahli Parlimen Bera itu, pada 22 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Ketika pengumuman itu, 80 peratus populasi dewasa di negara ini telah lengkap divaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada 21 September.

Kadar vaksinasi dewasa kemudiannya terus meningkat kepada 81 peratus pada 22 September, diikuti 81.8 peratus (23 September), 82.5 peratus (24 September) sehingga lah mencapai 86.8 peratus pada 1 Oktober.

Berhubung perkembangan kes harian Covid-19 pula, kita dapat lihat ia terus mencatatkan penurunan kepada 10,915 kes pada Sabtu sekali gus merekodkan pengurangan dua hari berturut-turut.

Walaupun ia menunjukkan perkembangan positif, namun orang ramai diingatkan supaya terus bertanggungjawab terhadap kawalan kendiri.

Bahkan apabila kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri nanti, diharap orang ramai juga tidak alpa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), malah sentiasa berhati-hati agar keluarga tersayang tidak menjadi mangsa Covid-19.